
Kuala Lumpur, 11 Julai 2026 – Selepas mencipta fenomena dalam kalangan pembaca dengan lebih 2.48 juta bacaan di Wattpad dan jualan melebihi 40,000 naskhah, karya popular Wnfhanna, Yes! Captain Zul Aaryan, kini diadaptasi ke kaca televisyen menerusi slot Akasia TV3. Drama bersiri 30 episod yang dibawakan oleh Cadbury Dairy Milk Biscoff ini menampilkan Jazmy Juma dan Anna Jobling sebagai pasangan utama, dengan gandingan mereka dijangka memberikan warna tersendiri kepada kisah romantik penuh konflik tersebut.
Drama terbitan Zamriez Golden Picture Sdn Bhd, dengan skrip nukilan Rozie Rashid dan arahan Nizam Zakaria, mula menemui penonton pada 10 Julai 2026. Selain Jazmy Juma dan Anna Jobling, drama ini turut menampilkan barisan pelakon seperti Natasha Sass, Nafiz Muaz dan Daniel Fong yang menghidupkan watak-watak penting dalam perjalanan kisah cinta serta konflik yang melatari kehidupan dua watak utamanya.
Yes! Captain Zul Aaryan mengisahkan Zul Aaryan, lakonan Jazmy Juma, seorang juruterbang yang juga bergelar Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan memilih untuk menutup pintu hatinya selepas dikhianati oleh bekas kekasih. Namun, kehidupannya berubah selepas bertemu Zara Andrea, lakonan Anna Jobling, seorang pelatih praktikal yang berani, tegas dan tidak mudah tunduk kepada sesiapa. Pertemuan pertama mereka yang dipenuhi ketegangan membawa kepada hubungan yang sering dihiasi perbezaan pendapat, pertelingkahan dan cabaran untuk mencari persefahaman.
Dalam pada hubungan mereka terus berkembang, tekanan dan masalah keluarga akhirnya membawa Zul Aaryan dan Zara Andrea ke dalam satu ikatan yang tidak pernah mereka jangkakan. Di sebalik ego, sindiran dan konflik yang sering menjadi penghalang, kedua-duanya perlahan-lahan berdepan dengan persoalan tentang kepercayaan, pengorbanan dan perasaan yang mungkin mula berputik tanpa disedari.
Bagi Jazmy Juma, peluang membawakan watak Captain Zul Aaryan merupakan satu pengalaman yang cukup bermakna, malah watak seorang juruterbang turut menjadi antara impiannya sebagai pelakon. Keserasian bersama Anna Jobling sepanjang proses penggambaran juga banyak membantu mereka dalam menjayakan pelbagai babak, khususnya ketika menggambarkan perjalanan emosi dua karakter yang mempunyai personaliti berbeza.
Anna Jobling pula melihat drama ini sebagai sebuah karya yang menawarkan lebih daripada sekadar kisah percintaan. Menurutnya, kekuatan cerita terletak pada perkembangan emosi setiap watak yang berlaku secara berperingkat menerusi konflik, salah faham dan pelbagai pengalaman yang mengajar mereka tentang makna kepercayaan, kasih sayang dan pengorbanan.
Sementara itu, pengarah Nizam Zakaria memberi penekanan terhadap aspek realistik dunia penerbangan yang menjadi latar utama drama ini. Penggambaran dilakukan di pelbagai lokasi termasuk kokpit, pesawat, hangar dan lapangan terbang bagi memberikan gambaran yang lebih dekat dengan dunia penerbangan sebenar. Setiap elemen visual turut dirancang bagi menyokong perkembangan emosi watak dan membawa penonton menyelami perjalanan Zul Aaryan dan Zara Andrea dari awal hingga akhir.
Bersempena pelancaran drama tersebut, Majlis Tayangan Perdana Episod Pertama dan Sidang Media turut diadakan dengan kehadiran novelis Wnfhanna, wakil penerbit Idea Kreatif, barisan pelakon serta pasukan produksi. Majlis berkenaan turut dimeriahkan dengan persembahan runut bunyi rasmi drama, Lumangad Oku Dika nyanyian Ryenald Guntabid, selain lagu Surat yang dipersembahkan secara akustik oleh Dukes.
Kerjasama bersama Cadbury Dairy Milk Biscoff turut melengkapkan kempen drama ini menerusi padanan unik antara dua jenama dan barisan pelakon utamanya. Keserasian Jazmy Juma dan Anna Jobling diibaratkan seperti gabungan coklat susu Cadbury Dairy Milk dengan rangupan karamel Biscoff yang saling melengkapi, sekali gus menambahkan lagi daya tarikan kepada drama romantik yang dinanti-nantikan ini.
Penonton boleh mengikuti Yes! Captain Zul Aaryan bermula 10 Julai 2026, setiap Isnin hingga Jumaat pada jam 7.00 malam menerusi slot Akasia TV3. Episod baharu turut boleh ditonton secara eksklusif menerusi iQIYI, satu jam selepas siaran di TV3, melalui laman web atau aplikasi iQIYI.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti TV3 di Facebook, X, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia, serta Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat.










