Malaysia perlu memperkukuhkan pembangunan bakat tempatan bagi menyokong pertumbuhan pesat kecerdasan buatan (AI), pusat data hiperskala dan pengkomputeran awan yang semakin menjadi tunjang kepada ekonomi digital negara.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, perkembangan teknologi digital tidak akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya sekiranya negara gagal menyediakan tenaga kerja berkemahiran yang mampu mereka bentuk, membangunkan, mengendalikan dan menyelenggara infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Menurut beliau, setiap aplikasi AI bergantung kepada pusat data yang selamat, rangkaian gentian berkelajuan tinggi, sistem pengkabelan berstruktur, infrastruktur awan serta rangkaian komunikasi yang berdaya tahan.
“Tiada ekonomi AI tanpa infrastruktur ICT bertaraf dunia dan tiada infrastruktur ICT bertaraf dunia tanpa tenaga mahir bertaraf dunia,” katanya ketika merasmikan BICSI Southeast Asia Conference & Exhibition Malaysia 2026 di Sunway Resort Hotel.
Persidangan selama dua hari yang bertemakan “Memajukan Infrastruktur ICT Demi Masa Depan Terhubung AI” itu menghimpunkan pemain industri, jurutera, perunding, penyedia teknologi, pengendali pusat data, penggubal dasar dan pemimpin perniagaan dari Malaysia serta negara-negara Asia Tenggara.
Persidangan tersebut berlangsung ketika Malaysia terus menarik pelaburan besar dalam bidang kecerdasan buatan, pengkomputeran awan dan pusat data hiperskala.
Menurut data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), pelaburan yang diluluskan melebihi RM92.8 bilion pada suku pertama 2026, termasuk RM38.9 bilion dalam sektor ICT, manakala kapasiti pusat data negara dijangka melepasi 4,000MW selepas tahun 2026.
Perkembangan itu meningkatkan permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan pusat data, infrastruktur awan, seni bina rangkaian, keselamatan siber serta pembangunan infrastruktur ICT yang mampan.

Pada masa sama, Malaysia turut berdepan cabaran memastikan tenaga kerja sedia ada mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi yang berlaku dengan pantas.
Kajian Impak AI, Ekonomi Digital dan Hijau oleh TalentCorp menganggarkan kira-kira 697,000 pekerja di negara ini berdepan risiko peralihan pekerjaan yang ketara dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang akibat automasi.
Sehubungan itu, usaha peningkatan kemahiran dan latihan semula perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan tenaga kerja tempatan kekal relevan serta mampu merebut peluang yang diwujudkan hasil pertumbuhan ekonomi digital.
Khairul Firdaus berkata, walaupun kemasukan pelaburan pusat data hiperskala dan infrastruktur digital merupakan perkembangan yang positif, keupayaan Malaysia untuk mengekalkan pertumbuhan tersebut bergantung kepada sejauh mana negara mampu melahirkan bakat tempatan yang berkemahiran tinggi.
Sementara itu, Pengarah BICSI Southeast Asia Affiliate, Mary Elizabeth Cheng berkata, Malaysia berada pada kedudukan strategik untuk menjadi tuan rumah persidangan tersebut berikutan pertumbuhan pesat negara dalam sektor AI, pusat data hiperskala, pengkomputeran awan dan kesalinghubungan digital.
Beliau berkata, perkembangan pesat itu menjadikan keperluan terhadap piawaian bertaraf antarabangsa, latihan berkualiti dan pensijilan profesional semakin penting bagi menyokong pembangunan industri.
Ketua Pegawai Eksekutif BICSI, John H. Daniels pula berkata, kekuatan sesebuah hab infrastruktur digital bukan hanya bergantung kepada jumlah kemudahan yang dibina, tetapi juga kepada keupayaan tenaga kerja yang menguruskannya.
Menurut beliau, operasi AI, pengkomputeran awan dan pusat data memerlukan infrastruktur ICT yang direka bentuk, dipasang, diuji dan diselenggara mengikut piawaian serta amalan profesional yang kukuh.
BICSI Southeast Asia Conference & Exhibition Malaysia 2026 dianjurkan oleh BICSI Southeast Asia Affiliate yang dikendalikan Tecnoviq Learning Academy Sdn. Bhd. (TECLA) di bawah lesen affiliate eksklusif daripada BICSI dengan sokongan penganjuran daripada Global Creative & Media Agency (GCMA).
Persidangan itu turut mendapat sokongan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) serta rakan strategik termasuk Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Invest Selangor Berhad, Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) dan Cyberview.
Sepanjang penganjuran, peserta disajikan dengan pembentangan utama, sesi teknikal, forum pakar dan sesi jaringan yang memfokuskan kepada pembangunan infrastruktur digital bersedia AI, teknologi gentian optik, pengkabelan berstruktur, teknologi penyejukan cecair, pengkomputeran edge, bangunan pintar, keselamatan siber serta reka bentuk pusat data mampan.
Pameran yang berlangsung serentak turut mengetengahkan pelbagai penyelesaian dan inovasi terkini daripada syarikat teknologi global dan serantau yang membentuk masa depan infrastruktur digital.










