Dari Idea Ke Pasaran, Gardenia x UiTM Apprenticeship 2026 Bentuk Generasi Usahawan Muda

Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd., jenama roti yang dekat di hati rakyat Malaysia, terus memperkukuhkan hubungan antara industri dan institusi pendidikan tinggi menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor.

Kerjasama strategik itu dimeterai sempena Majlis Penutup Gardenia x UiTM Apprenticeship 2026 dengan matlamat untuk menyediakan pendedahan industri yang lebih luas kepada mahasiswa, selain membantu melahirkan graduan yang lebih bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan khususnya dalam sektor makanan dan pembuatan bakeri.

Melalui program ini, mahasiswa UiTM diberi peluang untuk meneroka pelbagai aspek dalam industri makanan termasuk inovasi produk, pembangunan jenama serta strategi pemasaran produk berasaskan roti. Peserta turut didedahkan kepada keseluruhan proses pembangunan produk bermula daripada kajian, penjanaan idea, pembangunan konsep sehingga kepada strategi memperkenalkan produk ke pasaran.

Pengurus Kanan Pemasaran Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd., Puan Ena Suhaila Abas berkata, generasi muda Malaysia merupakan aset penting kepada pembangunan negara dan program seperti Gardenia x UiTM Apprenticeship memberi ruang kepada pelajar untuk memahami realiti sebenar industri.

“Gardenia bukan sekadar membuka peluang kepada pelajar untuk mengenali dunia industri, malah memberi mereka ruang untuk berfikir seperti seorang usahawan, pakar strategi jenama dan pencipta produk. Kami berharap kerjasama ini dapat mencetuskan idea baharu yang memberi manfaat kepada mahasiswa serta industri makanan secara keseluruhannya,” katanya.

Sementara itu, Prof. Dr. Ahmad Taufek Abdul Rahman, Menjalankan Fungsi Rektor UiTM Cawangan Selangor berkata, kerjasama antara universiti dan industri memainkan peranan penting dalam meningkatkan kemahiran serta kebolehpasaran graduan.

Menurut beliau, platform seperti ini membolehkan mahasiswa memperoleh pengalaman praktikal dalam suasana perniagaan sebenar sekali gus membina keyakinan sebelum memasuki alam pekerjaan.

Program Gardenia x UiTM Apprenticeship 2026 melibatkan penyertaan daripada 22 kampus UiTM di seluruh Semenanjung Malaysia dengan setiap kampus diwakili oleh satu pasukan yang terdiri daripada lima mahasiswa bersama seorang pensyarah mentor. Secara keseluruhan, seramai 110 mahasiswa mengambil bahagian dalam program tersebut.

Para peserta diberikan cabaran untuk menghasilkan idea produk inovatif menggunakan rangkaian Gardenia Ready-to-Eat (RTE) seperti QuickBites, PUAZZ!, Toast’em Waffles, Squiggles dan Twiggies. Penilaian dibuat berdasarkan aspek kreativiti, inovasi produk, strategi jenama serta potensi komersial.

Dalam fasa pertama program, peserta perlu membangunkan tiga konsep produk RTE dan membentangkannya menerusi video berdurasi tiga hingga empat minit. Lima pasukan terbaik kemudiannya mara ke fasa kedua untuk menghasilkan strategi jenama lengkap sebelum membentangkannya di hadapan panel penilai.

Pasukan Munchz Grab & Bites Delight dari UiTM Cawangan Pahang, Kampus Raub berjaya dinobatkan sebagai juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 selain menerima tawaran latihan industri bersama Gardenia. Tempat kedua dimenangi oleh pasukan Kaya Cakoi Bites dari UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Kuala Pilah dengan hadiah RM3,000.

Tempat ketiga pula diraih oleh pasukan Dip N Bite dari UiTM Cawangan Kelantan, Kampus Kota Bharu yang menerima hadiah RM1,500. Dua hadiah sagu hati turut diberikan kepada Mochi Roti Bites dari UiTM Cawangan Kelantan, Kampus Machang dan GD Burger dari UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban.

Selain itu, pasukan UiTM Cawangan Pahang, Kampus Raub turut menerima Anugerah Pembentangan Terbaik dengan hadiah wang tunai RM1,500.

Wakil pasukan Munchz Grab & Bites Delight berkata, program tersebut memberikan pengalaman berharga kepada mahasiswa dalam memahami proses sebenar pembangunan produk serta strategi pemasaran dalam industri bakeri.

“Program ini bukan sekadar pertandingan, tetapi satu pengalaman yang membuka mata kami terhadap dunia sebenar industri. Ia membantu kami meningkatkan kemahiran pembangunan produk, strategi jenama serta keyakinan untuk berfikir seperti seorang usahawan,” katanya.

Dalam masa sama, UiTM turut menjalankan kajian berkaitan tabiat pemakanan mahasiswa yang melibatkan lebih 2,200 responden daripada 22 kampus terlibat. Kajian tersebut bertujuan memahami corak pemakanan mahasiswa serta hubung kaitnya dengan prestasi akademik dan kesejahteraan mental.

Dapatan kajian tersebut akan dirumuskan dalam laporan rasmi UiTM dan dijangka membantu Gardenia memahami dengan lebih mendalam keperluan, gaya hidup serta citarasa pengguna muda dalam usaha membangunkan produk yang lebih relevan pada masa hadapan.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif mendekati mahasiswa, Gardenia turut menganjurkan Siri Jelajah Kampus di semua kampus yang terlibat. Program tersebut memberi peluang kepada pelajar untuk berinteraksi bersama pasukan Gardenia, mencuba rangkaian produk Ready-to-Eat (RTE) serta menyertai aktiviti interaktif.

Sepanjang siri jelajah tersebut, Gardenia telah mengagihkan lebih 11,000 pek produk RTE kepada mahasiswa sebagai usaha memperkukuhkan hubungan bersama generasi muda serta memperluaskan pengalaman pembelajaran berasaskan industri.