MN Holdings Berhad, syarikat pakar penyelesaian pembinaan dan kejuruteraan utiliti infrastruktur terkemuka di Malaysia, mencatatkan satu lagi prestasi kewangan memberangsangkan bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2026 (S3 TK2026), apabila keuntungan selepas cukai (PAT) meningkat 28% tahun ke tahun kepada RM21.33 juta berbanding RM16.69 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Bagi suku tersebut, hasil Kumpulan melonjak 57% kepada RM200.07 juta berbanding RM127.42 juta pada S3 TK2025, didorong terutamanya oleh peningkatan sumbangan daripada segmen kejuruteraan pencawang. Segmen itu menyumbang RM176.91 juta atau 88% daripada jumlah hasil keseluruhan, meningkat 82% berbanding RM97.09 juta yang direkodkan pada tahun sebelumnya. Sementara itu, segmen kejuruteraan utiliti bawah tanah menyumbang RM23.17 juta kepada hasil Kumpulan.
Keuntungan sebelum cukai (PBT) turut meningkat 41% tahun ke tahun kepada RM31.94 juta daripada RM22.62 juta sebelumnya, selari dengan pertumbuhan hasil yang lebih kukuh. Prestasi suku semasa bagaimanapun turut mengambil kira kerugian rosot nilai bersih ke atas aset kewangan dan aset kontrak sebanyak RM5.24 juta, berbanding pembalikan bersih kerugian rosot nilai RM1.20 juta pada S3 TK2025. Selepas pelarasan dibuat, PBT dinormalisasikan Kumpulan meningkat 74% tahun ke tahun kepada RM37.18 juta.
Prestasi ini mencerminkan pelaksanaan projek utama yang semakin dipercepatkan, peningkatan kecekapan operasi serta kemampuan berterusan MN Holdings dalam memperkukuh keupayaan kejuruteraannya.
Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac 2026 (9B TK2026), Kumpulan merekodkan hasil kumulatif sebanyak RM657.72 juta, meningkat 85% berbanding RM356.01 juta dalam tempoh sama tahun lalu. PBT kumulatif pula meningkat 92% kepada RM95.52 juta daripada RM49.83 juta, manakala PAT melonjak 87% kepada RM68.10 juta berbanding RM36.42 juta sebelumnya.
Segmen kejuruteraan pencawang terus menjadi pemacu utama prestasi dengan sumbangan sebanyak RM586.24 juta atau 89% daripada jumlah hasil keseluruhan bagi tempoh tersebut.
Dalam tempoh 9B TK2026 dan 9B TK2025, Kumpulan turut merekodkan perbelanjaan pampasan berasaskan saham masing-masing sebanyak RM1.37 juta dan RM1.22 juta, selain kerugian rosot nilai bersih ke atas aset kewangan dan aset kontrak sebanyak RM11.51 juta dan RM2.12 juta. Selepas pelarasan dibuat, PBT dinormalisasikan meningkat 104% tahun ke tahun kepada RM108.40 juta daripada RM53.17 juta sebelumnya.

Pengarah Urusan MN Holdings, Dato’ Clement Toh berkata prestasi kukuh yang dicatatkan pada S3 TK2026 didorong oleh pelaksanaan berterusan projek kejuruteraan pencawang utama serta kekuatan operasi Kumpulan.
Menurut beliau, prospek permintaan terhadap infrastruktur kuasa kekal positif susulan pelaburan berterusan dalam pusat data, pengembangan grid, elektrifikasi dan inisiatif peralihan tenaga. Disokong buku pesanan sekitar RM1.75 bilion, MN Holdings akan terus memberi fokus kepada pelaksanaan projek secara cekap sambil meneroka peluang baharu yang selari dengan kepakaran teknikal dan strategi pertumbuhan jangka panjang syarikat.
Lembaran imbangan Kumpulan kekal kukuh dengan jumlah ekuiti meningkat kepada RM357.85 juta setakat 31 Mac 2026, manakala tunai dan setara tunai berjumlah RM280.34 juta, sekali gus memberi fleksibiliti kewangan untuk menyokong peluang pertumbuhan masa depan dan memastikan pelaksanaan projek berjalan secara berdisiplin.









