Bean Here! Perluas Jenama ke KPTM Ipoh, Dekati Komuniti Kampus

Jenama pilihan tempatan, Bean Here! Coffee & Pastries (Bean Here!), kini dibuka di Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Ipoh bagi menawarkan pengalaman kafe berkualiti kepada warga kampus serta komuniti sekitarnya.

Pembukaan cawangan ini mencerminkan usaha berterusan Silver Lifestyle Sdn Bhd (Silver Lifestyle), anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), dalam memperkukuh jenama tempatan yang semakin relevan dalam landskap pengguna semasa, khususnya dalam kalangan belia yang merupakan segmen utama perbelanjaan berasaskan gaya hidup.

Sejak memulakan operasi pada tahun 2020, Silver Lifestyle telah mengamalkan pendekatan perniagaan yang dinamik dan responsif terhadap keperluan pasaran, termasuk pembaharuan menu secara berkala serta penyesuaian format operasi mengikut lokasi dan profil pelanggan. Bermula di Perak Techno Trade Centre (PTTC), jenama ini menerima sambutan positif daripada komuniti setempat dan seterusnya membina asas kukuh untuk peluasan yang lebih tersusun.

Kini, Bean Here! beroperasi melalui tiga model utama iaitu Kiosk Uber Concept, Café Swanky Bar dan Kiosk Petite, yang dibangunkan bagi memenuhi kepelbagaian keperluan pasaran. Kehadirannya di lokasi seperti PTTC, Hotel Casuarina@Meru, Bulatan Sultan Azlan Shah dan kini di KPTM membuktikan keupayaan jenama ini menyesuaikan penawaran mengikut persekitaran termasuk komuniti bandar, sektor hospitaliti serta institusi pengajian tinggi.

Menurut Pengarah Silver Lifestyle, Encik Nur Ismail bin Mohammed, strategi pengukuhan dan peluasan jenama Bean Here! dirangka bagi meningkatkan kecekapan operasi serta menyokong pertumbuhan jangka panjang. Beliau berkata pendekatan ini memberi tumpuan kepada perlindungan pelaburan sedia ada, pelaburan strategik serta pengurusan kewangan yang lebih efisien di samping memanfaatkan potensi pasaran untuk pertumbuhan yang mampan.

Seiring dengan pelaksanaan strategi tersebut, Bean Here! turut memperkenalkan pelbagai menu baharu seperti Chicken Tenders, Nachos, Black Forest Spanish Latte dan Cinnamon Latte sebagai sebahagian daripada penawaran yang lebih segar, pantas dan berpatutan bagi memenuhi citarasa golongan belia yang mengutamakan pengalaman santai dan berkualiti. Pengarah Silver Lifestyle Sdn Bhd, yang juga bertanggungjawab dalam operasi dan pemasaran Bean Here!, Encik Harris bin Mohd Rodzi, berkata pihaknya turut menilai peluang peluasan strategik secara berfasa ke lokasi berpotensi tinggi seperti terminal KTM serta beberapa institusi pengajian tinggi di Ipoh termasuk UniKL.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KPTM, Tuan Haji Radzuan bin Razali, berkata pembukaan Bean Here! di KPTM Ipoh bukan sekadar menawarkan ruang minuman dan makanan, tetapi turut berfungsi sebagai ruang santai untuk belajar, berbincang dan berinteraksi. Beliau menjelaskan bahawa ruang di aras besmen tersebut telah diperuntukkan sebagai pusat aktiviti pelajar termasuk pembelajaran, perbincangan, program komuniti serta aktiviti seni dan muzik, dan kehadiran kafe ini dilihat dapat memeriahkan lagi fungsi ruang berkenaan.

Selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030, inisiatif ini mencerminkan usaha memperkukuh pembangunan ekonomi tempatan melalui pengukuhan rantaian nilai domestik, sejajar dengan flagship Program Mesra Pelabur. Pendekatan ini dilaksanakan melalui kerjasama dengan usahawan dan pembekal tempatan bagi memperkukuh ekosistem “Made in Perak”, di samping membuka peluang pembangunan keusahawanan menerusi model perniagaan fleksibel seperti mikro-francais.

Menurut Timbalan Ketua Eksekutif (Perhubungan Korporat) PKNPk, Puan Nurdita Fadzlinda binti Ahmad Rasidi, inisiatif seperti ini mencerminkan pendekatan holistik dalam merangsang pertumbuhan ekonomi negeri. Beliau berkata ia bukan sahaja memperkukuh rantaian nilai tempatan, malah mewujudkan lebih banyak peluang kepada usahawan dan pemain industri untuk berkembang dalam ekosistem yang lebih tersusun dan berdaya tahan.

Selain itu, kehadiran Bean Here! di institusi pendidikan tinggi turut menyokong agenda Koridor TVET Malaysia dan pemerkasaan modal insan melalui latihan industri, pembangunan kemahiran serta peluang pekerjaan kepada belia. Ini secara tidak langsung memperkukuh agenda pembelajaran sepanjang hayat dalam bidang perkhidmatan dan keusahawanan, di samping menyumbang kepada pembangunan ekosistem sosial yang lebih inklusif dan dinamik.

Tambah beliau, usaha ini turut selari dengan keutamaan negeri dalam pembangunan bakat dan kesejahteraan komuniti, di mana penglibatan sektor swasta dan institusi pendidikan dilihat mampu memperkasa golongan belia dengan kemahiran relevan serta mewujudkan persekitaran yang menyokong interaksi sosial dan pembangunan komuniti secara inklusif.

Dari sudut penjenamaan negeri, inisiatif ini memperkukuh imej Perak sebagai negeri yang progresif, mesra pelaburan serta berorientasikan bakat, inovasi dan keterangkuman. Pada masa yang sama, penerapan amalan lestari seperti pengurangan penggunaan plastik dan pengurusan sisa secara bertanggungjawab mencerminkan komitmen terhadap agenda pembangunan mampan jangka panjang.

Majlis pembukaan ini dirasmikan secara bersama oleh Tuan Haji Radzuan Razali dan Puan Nurdita Fadzlinda yang mewakili Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq. Turut hadir ialah barisan pengurusan KPTM, Silver Lifestyle dan PKNPk sebagai simbol sokongan berterusan terhadap usaha memperkukuh ekosistem ekonomi dan sosial negeri Perak.