Joy Splash ‘Healing’ Habis! Zepp KL Bergema Dengan Tenaga Luar Biasa ReVelus

Zepp Kuala Lumpur baru-baru ini memang betul-betul “splashed” dengan percikan cinta! Tepat pada 25 April lalu, siri jelajah solo pertama Joy iaitu 2026 Joy Asia Tour (JOY SPLASH) akhirnya singgah ke Malaysia dan jujurnya, vibe malam itu memang lain macam punya padu. Lebih 1,500 ReVeluvs berkumpul memenuhi ruang ikonik tersebut semata-mata nak tengok buah hati mereka secara dekat setelah sekian lama menanti. Sebaik sahaja lagu Hello berkumandang sebagai pembuka tirai, suasana terus bertukar menjadi pesta yang cukup bertenaga dan penuh emosi.

Joy atau nama sebenarnya Park Soo-young memang tak pandai mengecewakan. Sepanjang konsert, dia membuktikan vokalnya yang “super sweet” menerusi lagu-lagu hit seperti Je T’aime dan La Vie En Bleu. Bukan itu sahaja, peminat drama Korea turut dipuaskan dengan rangkaian lagu runut bunyi (OST) popular termasuklah Introduce Me a Good Person dan Yeowooya. Apa yang paling mahal mestilah momen bila Joy menyapa peminat dalam nada penuh rindu. Luahan ikhlas Joy yang mengatakan betapa dia gembira dapat bertemu kembali dengan peminat di Malaysia membuatkan ramai yang “cair” dan tak keruan.

Bukan Joy lah namanya kalau tak ada aksi tarian yang memukau! Kehangatan malam itu semakin memuncak apabila Joy membawakan medley lagu-lagu ikonik Red Velvet seperti Red Flavor, Feel My Rhythm, dan Peek-a-Boo. Setiap gerak tarinya disambut dengan sorakan luar biasa, seolah-olah mengubat kerinduan peminat terhadap kumpulan tersebut. Paling menyentuh hati adalah segmen membaca surat peminat, di mana seorang ReVeluv mengaku karya-karya Joy menjadi “penyelamat” dan tempat berteduh daripada masalah anxiety. Mendengarkan pengakuan itu, suasana menjadi cukup intim dan peribadi, membuktikan pengaruh positif seorang idola melangkaui sekadar hiburan.

Interaksi dua hala antara Joy dan peminat memang “top notch”. Dari segmen acapela Ice Cream Cake sehinggalah ke permainan teka lukisan, Joy benar-benar mahu mendekati peminatnya sebagai seorang sahabat. Malah, peminat setia seperti Wani, 30, menyifatkan Joy sebagai “cinta pertamanya” sejak zaman program We Got Married lagi. Sebelum tirai dilabuhkan dengan lagu Zimzalabim dan You Better Know, Joy sempat menitipkan pesanan terima kasih yang cukup mendalam, membuatkan ramai pulang dengan senyuman lebar dan memori yang sukar dilupakan.

Kejayaan siri solo Joy ini sebenarnya melengkapkan rentetan jelajah ahli Red Velvet yang lain ke Malaysia sebelum ini, termasuklah Irene, Seulgi, dan Wendy. Melihat setiap seorang daripada mereka berjaya memukau pentas secara solo, kini ReVeluvs di Malaysia nampaknya sudah mula memasang impian yang lebih besar. Rata-ratanya berharap agar selepas habis segala aktiviti solo ini, Red Velvet dapat kembali bersatu dan menggegarkan pentas sebagai sebuah kumpulan lengkap tidak lama lagi. Kita tunggu dan lihat, mana tahu ada kejutan besar selepas ini!