Anggapan bahawa strok hanya menyerang warga emas berpunca daripada penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi atau kencing manis perlu diperbetulkan. Hakikatnya, strok boleh berlaku pada mana-mana peringkat usia, bermula daripada bayi yang baru dilahirkan sehinggalah ke usia remaja.
Menurut Protokol Pediatrik Hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kadar kejadian strok kanak-kanak dianggarkan sekitar 2.5 hingga 13 kes bagi setiap 100,000 orang kanak-kanak setiap tahun. Walaupun jarang berlaku berbanding orang dewasa, gejalanya mudah terlepas pandang atau disalah anggap sebagai masalah kesihatan biasa.

Pakar Perunding dan Pakar Neurologi Kanak-Kanak Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Tan Jen Ern, menjelaskan bahawa strok kanak-kanak bukan didorong faktor gaya hidup. Sebaliknya, ia lazim berpunca daripada abnormaliti struktur salur darah otak, penyakit jantung kongenital, gangguan pembekuan darah, keradangan, jangkitan mahupun masalah genetik. Ini bermakna kanak-kanak yang kelihatan sihat sepenuhnya turut berisiko diserang strok secara tiba-tiba.
Gejala strok pada kanak-kanak berusia menyerupai tanda dewasa seperti muka senget, kelemahan sebelah anggota badan atau percakapan tidak jelas. Bagi bayi dan anak kecil, petandanya sukar dikesan, termasuk sawan mengejut atau kesukaran menyusu. Dr Tan mengingatkan ibu bapa supaya segera membawa anak ke hospital jika perubahan neurologi dikesan. Mencatat waktu bermulanya simptom amat kritikal untuk tindakan kecemasan, selain mengurangkan risiko strok berulang yang dianggarkan sekitar 12 hingga 20 peratus.

Kesan jangka panjang strok turut membabitkan penurunan fungsi kognitif, daya tumpuan, ingatan dan emosi anak. Bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai kesihatan neurologi, SMCV menganjurkan kempen “Brain for Life: The Ultimate Mind & Motion Experience” pada 30 Oktober hingga 1 November 2026 di Main Atrium, Sunway Velocity Mall. Program ini menawarkan aktiviti interaktif, simulasi tanda strok dan saringan kesihatan secara percuma kepada pengunjung.











