Kata Hati: Dari Dunia Glamour ke Hati Seorang Pemandu E-Hailing

Kata Hati ialah sebuah naskhah romantik komedi yang mengisahkan cinta antara seorang pelakon wanita popular dan seorang pemandu e-hailing. Industri perfileman tempatan bakal diserikan dengan kemunculan filem cinta terbaharu ini yang menggabungkan elemen percintaan, humor dan realiti kehidupan moden dalam sebuah karya yang segar.

Filem terbitan Wayangworks Sdn. Bhd. dan Filmscape Sdn. Bhd. ini merupakan sebuah karya santai dan menghiburkan, namun pada masa yang sama berkembang menjadi sebuah penceritaan yang lebih mendalam tentang kehidupan serta pilihan hati.

Menurut penerbitnya, Muhammad Bahir, idea menghasilkan Kata Hati tercetus hasil pemerhatian dan pengalaman mereka dalam industri perfileman yang sering bertemu dengan ramai selebriti. Mereka tertarik dengan perbezaan antara persona yang dipamerkan di hadapan kamera dan kehidupan sebenar di sebalik tabir.

“Kami mengambil keputusan untuk menghasilkan sebuah kisah di sebalik dunia glamor seorang selebriti, disulami dengan jalan cerita yang mampu menghiburkan penonton,” katanya.

Filem arahan Nadiah Hamzah ini mengangkat kisah percintaan antara seorang pelakon wanita popular dengan seorang pemandu e-hailing, sekali gus menyentuh sisi kehidupan yang lebih dekat dengan realiti masyarakat hari ini.

Menariknya, filem ini menampilkan barisan pelakon muda seperti Nia Atasha, Yusof Hashim dan Fazziq Muqris sebagai teraju utama, bergandingan dengan nama-nama popular seperti Scha Alyahya, Taqim Zaki dan Norreen Iman. Lebih istimewa, Kata Hati turut diserikan dengan penampilan cameo beberapa pelakon terkenal tanah air seperti Beto Kusyairy, Nabila Huda, Liyana Jasmay, Nina Kho dan Shweta Sekhon.

Penerbit eksekutif, Juliana Foo, berkata filem ini hadir tepat pada masanya memandangkan penonton kini telah lama disajikan dengan naskhah bergenre aksi dan seram. Menurutnya, genre romantik komedi masih mempunyai peminat tersendiri yang merindui cerita cinta ringan dan menghiburkan.

“Kata Hati hadir sebagai sebuah ‘modern fairy tale’ dengan elemen ‘high-stakes romance’ yang memberikan momen indah dan tersendiri kepada penonton di pawagam,” jelasnya.

Pengarahnya, Nadiah Hamzah, pula menjelaskan bahawa antara tarikan utama filem ini adalah kepelbagaian rasa yang disatukan dalam satu penceritaan yang unik. Selepas mengarahkan filem yang lebih berat seperti Motif, beliau berhasrat untuk menghasilkan sebuah filem cinta ringan yang mampu membuat penonton ketawa dan menangis di pawagam.

Beliau turut menjelaskan bahawa pemilihan pelakon utama dibuat menerusi sesi uji bakat, dan walaupun mereka masih pendatang baharu dalam dunia perfileman, komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan sangat mengagumkan.

Sebagai pengarah, Nadiah berharap penonton dapat merasai keindahan dan kejujuran dalam kisah cinta yang dipaparkan menerusi filem ini. Katanya, filem ini diharapkan dapat menghimpunkan penonton untuk meraikan sebuah kisah cinta manusiawi yang menyentuh emosi melalui elemen tangisan dan gelak tawa, serta mengingatkan kembali kemanisan dalam bercinta.

Penggambaran filem ini telah dijalankan pada awal Ogos 2025 di sekitar Kuala Lumpur dan Kuantan. Kata Hati akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 4 Jun 2026. Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web filemkatahati.my.