Bijak Padan, Lebih Nutrien

Pemakanan seimbang bukan sekadar memenuhi keperluan nutrien tertentu atau memastikan pengambilan makanan “superfood” terkini. Sebaliknya, ia melibatkan keseimbangan nutrien yang mencukupi bagi memastikan tubuh menerima zat yang diperlukan secara konsisten untuk pertumbuhan, metabolisme, dan pemulihan, di samping menyokong kesejahteraan menyeluruh. Tambahan pula, padanan makanan tertentu mampu mempengaruhi keupayaan tubuh untuk menyerap dan memanfaatkan nutrien yang terkandung di dalamnya secara lebih efektif.

Pengarah Kanan, Pendidikan dan Latihan Pemakanan Global serta Pengerusi Lembaga Penasihat Dietetik dan Lembaga Penasihat Nutrisi Luaran Herbalife”

Susan Bowerman, Pengarah Kanan Pendidikan dan Latihan Pemakanan Global di Herbalife, menjelaskan bahawa dalam sains pemakanan, kombinasi makanan tertentu boleh mempengaruhi tahap penyerapan dan penggunaan nutrien oleh tubuh. Beliau menekankan bahawa setiap individu boleh mempengaruhi pengambilan nutrien melalui pemilihan padanan makanan yang bijak semasa waktu makan. Salah satu cara paling mudah ialah dengan mempelbagaikan pengambilan makanan sihat secara konsisten, berbanding mengambil menu yang sama setiap hari, memandangkan terdapat beberapa kombinasi tertentu yang memberikan manfaat lebih besar kepada tubuh berbanding jika dimakan secara berasingan.

Bersempena Hari Kesihatan Sedunia, Bowerman berkongsi beberapa strategi padanan bijak, dimulakan dengan menggabungkan sayur-sayuran berwarna-warni bersama sedikit lemak sihat. Sayur-sayuran seperti bayam, lobak merah, dan tomato mengandungi karotenoid yang bersifat larut lemak, maka penggunaan minyak zaitun pada salad atau penambahan avokado ke dalam smoothie dapat membantu tubuh memanfaatkan antioksidan tersebut dengan lebih berkesan. Selain itu, pengambilan Vitamin C bersama zat besi daripada sumber tumbuhan adalah penting bagi meningkatkan kadar penyerapan zat besi bukan heme. Menambahkan hirisan buah sitrus ke dalam salad bayam atau mencampurkan buah-buahan seperti nanas ke dalam minuman protein diperkaya adalah langkah mudah untuk menyokong pengangkutan oksigen dan metabolisme tenaga.

Padanan makanan yang tepat memaksimumkan penyerapan nutrien dan menyokong kesejahteraan menyeluruh.

Strategi seterusnya melibatkan padanan teh hijau dengan makanan kaya Vitamin C, di mana penambahan lemon dapat meningkatkan penyerapan sebatian katekin yang bertindak sebagai antioksidan. Bagi kesihatan tulang, sinergi antara Vitamin D dan kalsium adalah kritikal memandangkan Vitamin D membantu tubuh mengoptimumkan penggunaan kalsium. Walaupun Malaysia menerima cahaya matahari yang banyak, data menunjukkan sebahagian besar penduduk masih kekurangan Vitamin D, maka memadankan ikan berlemak dengan sayuran hijau atau mengambil produk diperkaya adalah sangat disyorkan. Akhir sekali, gabungan protein dan serat bukan sahaja menyokong kesihatan pencernaan, malah membantu memberikan rasa kenyang yang lebih lama dan tenaga berpanjangan sepanjang hari.

Secara keseluruhannya, mendapatkan nutrien mencukupi dalam era moden merupakan satu cabaran yang boleh diatasi melalui konsistensi dan pemilihan yang tepat. Pemakanan yang sihat seharusnya bersifat peribadi dan mampan, di mana penggunaan makanan lengkap boleh disokong oleh produk diperkaya atau suplemen untuk menampung kekurangan zat dalam jadual harian yang padat. Dengan mengamalkan teknik padanan makanan yang bijak bersama pilihan protein, bijirin tinggi serat, serta buah-buahan dan sayur-sayuran, setiap individu dapat mewujudkan pendekatan yang lebih efektif dalam memastikan tubuh mendapat keperluan nutrisi harian yang optimum.