Dengan tahap kefahaman yang semakin mendalam tentang kesihatan dan kesejahteraan, pengguna masa kini semakin sedar akan kepentingan menjaga kesihatan serta mengurangkan keperluan untuk berkunjung ke klinik atau hospital. Penjagaan kesihatan secara pencegahan kini menjadi keutamaan dalam kalangan pengguna di Asia Pasifik (APAC), dengan 92% menyatakan amalan ini amat penting untuk kesejahteraan keseluruhan. Malah, angka tersebut lebih tinggi di Malaysia, mencecah 95%, menurut satu tinjauan terbaru oleh Herbalife.

Dr. Alex Teo, Pengarah Penyelidikan, Pembangunan dan Hal Ehwal Saintifik Asia Pasifik, Herbalife berkata, ramai individu kini berusaha meningkatkan tahap kesihatan masing-masing dengan membuat pilihan pemakanan yang lebih sihat, bersenam serta mengambil makanan tambahan atau suplemen. Hari ini, suplemen dilihat sebagai salah satu cara untuk menyokong kesihatan secara menyeluruh, meningkatkan sistem imun dan membantu mencapai matlamat kesihatan individu. Pengambilan suplemen lazimnya disarankan oleh doktor, pakar pemakanan, syarikat penjagaan kesihatan serta rakan-rakan.
Tinjauan Herbalife yang melibatkan 9,000 pengguna di 11 pasaran pada Mei 2025 mendapati bahawa dua daripada lima pengguna di Malaysia mengambil suplemen secara kerap. Namun begitu, tinjauan tersebut turut mendedahkan satu trend yang membimbangkan apabila hanya 65% responden yakin bahawa mereka membuat keputusan yang betul berkaitan pemakanan tambahan.

Pemilihan suplemen secara bertanggungjawab memerlukan pemahaman yang teliti terhadap komposisi ramuan, kualiti produk, dos yang disyorkan, had pengambilan serta potensi interaksi dengan makanan tambahan dan ubat-ubatan lain. Tanpa pengetahuan yang mencukupi, pengguna mungkin sukar untuk memperoleh manfaat daripada suplemen yang selamat dan berkesan, sekali gus menjejaskan usaha penjagaan kesihatan pencegahan mereka.
Untuk mengatasi cabaran ini, penting untuk mengenal pasti jurang pengetahuan dalam kalangan pengguna mengenai suplemen. Tinjauan Herbalife mendapati bahawa pengguna daripada pelbagai peringkat umur masih kurang jelas tentang cara pengambilan suplemen yang selamat dan berkesan. Lebih membimbangkan, ramai tidak menyedari dos yang sesuai serta had maksimum pengambilan, terutamanya apabila mengambil lebih daripada satu jenis suplemen. Di Malaysia, sebanyak 24% responden tidak menyedari kesan pengambilan suplemen secara berlebihan.
Menurut Dr. Teo, hasil tinjauan menunjukkan bahawa separuh daripada responden dalam kalangan generasi Boomer di APAC mengambil suplemen setiap hari, namun hanya 30% yang membuat keputusan secara bermaklumat, menjadikan mereka kumpulan paling kurang peka. Mereka juga paling kurang yakin, dengan hanya 42% menyatakan keyakinan terhadap keputusan pemakanan tambahan mereka berbanding kumpulan umur lain. Sebaliknya, generasi Gen Z didapati paling yakin tentang kepentingan membuat keputusan bermaklumat (47%) dan paling yakin (58%) terhadap keupayaan mereka membuat pilihan yang bijak berkaitan pengambilan suplemen.

Satu lagi kebimbangan ialah kurangnya pemahaman pengguna tentang interaksi antara suplemen dan ubat-ubatan. Sebagai contoh, herba St. John’s Wort boleh mengurangkan keberkesanan ubat seperti warfarin dan statin tertentu. Selain itu, pengambilan suplemen kalsium secara berlebihan boleh menyebabkan hiperkalsemia, iaitu keadaan di mana paras kalsium dalam darah menjadi terlalu tinggi, yang boleh membawa kepada kelemahan tulang dan pembentukan batu karang. Tinjauan juga mendapati 59% responden di Malaysia tidak mengetahui had pengambilan harian kalsium, manakala 74% tidak menyedari kesan pengambilan berlebihan.
Dari sudut yang lebih positif, responden di Malaysia mengakui peranan mereka dalam membuat keputusan yang bijak, dengan 84% menyedari kepentingannya. Namun, tanggungjawab ini bukan terletak pada pengguna sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama antara pengguna dan penyedia suplemen.
Walaupun akses kepada maklumat kini lebih mudah, membuat keputusan yang tepat mengenai suplemen tetap memerlukan usaha. Pengguna perlu membaca label, membuat kajian sendiri dan mendapatkan panduan daripada sumber yang sahih. Dalam masa yang sama, mereka juga memerlukan sokongan lebih proaktif daripada profesional yang dipercayai dan berlandaskan sains. Walaupun 58% responden mendapatkan nasihat doktor atau pakar pemakanan, masih ramai yang belum berbuat demikian.
Sehubungan itu, semua pihak memainkan peranan penting dalam memastikan penggunaan suplemen yang selamat. Pengguna perlu mendapatkan maklumat yang tepat, profesional kesihatan perlu memberikan nasihat berasaskan bukti saintifik, manakala penyedia suplemen harus memastikan pelabelan yang jelas serta komunikasi yang telus. Di samping itu, kawalan kualiti produk yang ketat, pengesahan keselamatan dan jaminan keberkesanan perlu menjadi asas bagi meningkatkan keyakinan pengguna.
Berdasarkan tinjauan Herbalife, pengguna percaya bahawa suplemen memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan. Oleh itu, adalah penting untuk memastikan suplemen yang diambil adalah sesuai dan digunakan dengan cara yang betul.
Dalam usaha meningkatkan tahap kesihatan, kerjasama antara penyedia suplemen dan pengguna amat diperlukan bagi menyokong matlamat kesihatan masing-masing. Syarikat pemakanan boleh memainkan peranan sebagai peneraju pemikiran, manakala pendidikan pengguna perlu dipertingkatkan agar mereka lebih berdaya membuat pilihan yang tepat. Dengan pendekatan ini, pengambilan suplemen secara bertanggungjawab dapat dijadikan amalan harian, sekali gus membantu pengguna di rantau ini kekal sihat untuk jangka masa yang lebih panjang.