Kecoh! Ustaz beri penjelasan isu status anak tak sah taraf dalam drama Khianat Yang Terpilih, netizen mula pertikai urusan ‘Bin’ atau ‘Binti’.

Drama Khianat Yang Terpilih terus menjadi bualan hangat netizen apabila plot penceritaannya mula menyentuh isu sensitif berkaitan hukum-hakam agama. Perhatian penonton kini terarah kepada konflik watak Asmida (Puteri Aishah) yang mengandung selepas menjalin hubungan sulit bersama Ali (Ben Amir), sedangkan kedua-duanya masih berstatus suami dan isteri orang.

Perkembangan drastik ini mencetuskan pelbagai persoalan mengenai status nasab anak tersebut; termasuklah persoalan tentang siapa yang berhak menjadi ‘bin’ atau ‘binti’, keperluan proses perceraian, serta kedudukan hukum syarak dalam kemelut berkenaan.

Menyentuh isu ini, pendakwah Ustaz Jafri Abu Bakar menjelaskan bahawa dalam Islam, penentuan nasab seorang anak berkait rapat dengan status perkahwinan ibunya ketika tempoh kehamilan. Menurut beliau, bagi wanita yang mempunyai suami, anak yang dilahirkan secara asalnya akan dinasabkan kepada suaminya berdasarkan kaedah ‘anak adalah bagi pemilik hamparan’. Istilah ‘hamparan’ tersebut merujuk kepada isteri, di mana mana-mana lelaki yang terikat dengan akad perkahwinan yang sah, maka anak yang dilahirkan wanita itu adalah anaknya.

Walau bagaimanapun, terdapat pengecualian jika si suami yakin bahawa anak tersebut bukan daripada benihnya. Suami boleh menafikan nasab tersebut melalui proses li’an, iaitu sumpah laknat yang dilakukan di hadapan hakim atau qadhi sekiranya mempunyai bukti yang kukuh. Apabila proses li’an berlaku, nasab anak tersebut secara automatik terputus daripada suami dan akan dinasabkan kepada si ibu sahaja.

Beliau turut memberi peringatan bahawa urusan menentukan atau menafikan nasab tidak boleh dilakukan secara melulu atau hanya bersandarkan kepada keputusan ujian DNA. Di dalam syarak, pengesahan nasab adalah melalui akad nikah, manakala penafiannya pula wajib melalui proses li’an yang turut mengakibatkan pasangan terbabit terpisah buat selama-lamanya.

Untuk faham lebih lanjut mengenai kupasan isu ini, sila layari pautan berikut: https://www.instagram.com/reel/DWn8zgEkm-T/?utm_source=ig_web_copy_link&igsh=NTc4MTIwNjQ2YQ==

Khianat Yang Terpilih kini sedang menuju ke episod kemuncak pada Rabu depan. Pastikan anda menonton setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6.58 petang di slot Akasia, TV3.

Anda juga boleh menyaksikan episod terbaharu secara eksklusif di aplikasi iQIYI atau laman web mereka, hanya sejam selepas tayangan di TV3.