BLACKMORES Malaysia Santuni Komuniti PPR Melalui Inisiatif Bantuan Ramadan Bersama Guardian dan Kechara Soup Kitchen

BLACKMORES Malaysia, dengan kerjasama Guardian Malaysia dan Kechara Soup Kitchen, telah menganjurkan satu inisiatif bantuan komuniti bagi menyokong 200 keluarga yang menetap di PPR Desa Rejang dan PPR Air Panas, sekali gus memberi manfaat kepada kira-kira 1,000 individu. Program ini melibatkan pengagihan bekalan makanan asas, produk kebersihan serta suplemen pemakanan kepada komuniti yang kurang mendapat perhatian, selaras dengan komitmen berterusan BLACKMORES dalam membina komuniti yang lebih sihat dan menyokong kesejahteraan harian.

Dalam inisiatif ini, BLACKMORES Malaysia menaja pek makanan seimbang yang berkhasiat bersama suplemen pemakanan termasuk Omega Complex 120s dan Daily Protect Chewable 60s, manakala Guardian Malaysia menyumbangkan barangan keperluan harian seperti berus gigi dan gel mandian. Sukarelawan daripada BLACKMORES Malaysia dan Guardian Malaysia, bersama Kechara Soup Kitchen, turut berganding bahu membungkus dan mengedarkan pek bantuan yang mengandungi makanan ruji, produk kebersihan serta suplemen pemakanan terpilih bagi menyokong keperluan kesihatan dan pemakanan keluarga terlibat sepanjang bulan Ramadan.

Selain menyampaikan bantuan kepada keluarga di PPR Desa Rejang dan PPR Air Panas, BLACKMORES Malaysia juga menyumbangkan 1,000 unit Daily Protect Chewable 60s kepada komuniti PPR lain di sekitar Lembah Klang melalui Kechara Soup Kitchen, dengan tujuan meluaskan sokongan pemakanan dan manfaat kesihatan kepada lebih ramai keluarga yang memerlukan. Secara keseluruhan, kira-kira 2,000 individu dijangka menerima manfaat daripada inisiatif ini.

Program bantuan ini mencerminkan usaha berterusan BLACKMORES dalam menyumbang kepada komuniti di setiap lokasi operasinya di rantau Asia Pasifik. Di Malaysia, komitmen ini dizahirkan melalui inisiatif seperti Project Kindness, sebuah program akar umbi yang memberi tumpuan kepada usaha membantu komuniti kurang bernasib baik melalui aktiviti berasaskan kesihatan, kesejahteraan dan pemakanan. Melalui inisiatif yang dipacu oleh sukarelawan serta kerjasama dengan organisasi amal, BLACKMORES terus menyokong usaha bermakna dalam memperkukuh kesejahteraan komuniti setempat.

Menurut Ketua Pemasaran BLACKMORES Malaysia, Chloe Meng, sempena Ramadan yang mulia ini, pihaknya bersama Guardian Malaysia dan Kechara Soup Kitchen telah menyantuni 200 keluarga di PPR Desa Rejang dan PPR Air Panas. Beliau berkata, melalui pengagihan makanan dan suplemen pemakanan BLACKMORES, pihaknya berharap inisiatif tersebut dapat membantu menyokong serta meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan komuniti berkenaan sepanjang bulan Ramadan.

Sementara itu, Pengurus Kategori Kanan Guardian Malaysia, Michelle Chong, menyatakan bahawa sebagai rakan kesejahteraan sejak 58 tahun lalu, Guardian sentiasa berusaha memberikan makna baharu kepada tradisi Raya. Selain pemberian duit raya dan juadah perayaan, Guardian menggalakkan rakyat Malaysia untuk memberi hadiah yang membantu melindungi insan tersayang, selari dengan tema “Seikhlas Pemberian, Seindah Lebaran”. Beliau turut menyatakan penghargaan kerana dapat menyokong inisiatif ini dan berharap sumbangan tersebut dapat membawa kegembiraan serta kelegaan kepada keluarga yang terlibat, khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh bermakna.

BLACKMORES Malaysia kekal komited dalam menyokong inisiatif yang menggalakkan kesihatan, pemakanan dan kesejahteraan komuniti, serta akan terus bekerjasama dengan rakan dan organisasi tempatan dalam membawa perubahan positif kepada masyarakat di seluruh negara.