“Masing Masing” Cipta Sejarah: Ernie Zakri & Ade Govinda Raih 236 Juta Penstriman, Diiktiraf Asia Book of Records

Lagu hit “Masing Masing” nyanyian Ernie Zakri terus mencatat sejarah apabila berjaya meraih lebih 236 juta penstriman di platform Spotify. Lagu yang menampilkan sentuhan komposer dan pemain gitar Ade Govinda itu turut diiktiraf oleh Asia Book of Records sebagai lagu Melayu/Indonesia terpantas mencapai angka 200 juta penstriman menjelang Ogos 2025.

Pencapaian ini sekali gus mengukuhkan lagi profil seni Ernie Zakri selepas beliau dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular pada Disember 2025. Pada tahun ini, pengiktirafan daripada Asia Book of Records sekali lagi meletakkan nama beliau di persada seni serantau menerusi kejayaan karya “Masing Masing”.

Pengiktirafan oleh Asia Book of Records bukan sahaja meraikan kejayaan tersebut, malah memberikan pengesahan yang kredibel yang mampu meningkatkan profil artis serta memperluaskan pendedahan media di seluruh rantau Asia. Platform pengiktirafan ini turut menghubungkan pencipta rekod dengan tokoh, pemimpin dan inovator lain di benua Asia, sekali gus mengangkat kejayaan mereka sebagai inspirasi dan legasi yang berkekalan. Pencapaian ini juga membuktikan kekuatan kolaborasi muzik serantau yang mampu menembusi sempadan negara serta menyatukan pendengar di seluruh Asia Tenggara melalui karya yang sarat emosi dan kejujuran.

Menurut Ernie, kejayaan lagu ini merupakan sesuatu yang tidak pernah dijangka ketika ia mula dihasilkan. Beliau meluahkan rasa terharu dan bersyukur apabila mengetahui “Masing Masing” berjaya mencapai lebih 236 juta penstriman di Spotify serta menerima pengiktirafan daripada Asia Book of Records. Katanya, ketika menghasilkan lagu tersebut bersama Ade Govinda, matlamat utama mereka hanyalah untuk menyampaikan sebuah karya yang jujur dari segi emosi. Namun melihat sambutan luar biasa yang diterima sehingga melakar sejarah, beliau amat menghargai sokongan padu para pendengar, khususnya peminat setia yang dikenali sebagai Ernienators yang sentiasa mendukung perjalanan seninya sejak awal.

Sejak dilancarkan, “Masing Masing” bukan sahaja mendapat sambutan hangat di Malaysia dan Indonesia, malah turut menambat hati pendengar di pelbagai negara Asia Tenggara. Bagi Ernie, kekuatan utama lagu ini terletak pada mesej dan emosi yang bersifat universal, yang dekat dengan pengalaman kehidupan ramai orang.

Tambahnya lagi, walaupun lagu tersebut berbahasa Melayu dan Indonesia, emosi yang disampaikan mampu dirasai oleh pendengar dari pelbagai latar belakang. Dengan kolaborasi bersama Ade Govinda serta susunan muzik yang ringkas tetapi menyentuh perasaan, faktor itu mungkin menjadi antara sebab lagu ini diterima baik di seluruh Asia Tenggara.

Dengan pencapaian ini, “Masing Masing” terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara lagu serantau paling berjaya dalam beberapa tahun kebelakangan ini, sekali gus membuktikan bahawa muzik yang jujur dan penuh emosi mampu merentasi sempadan bahasa dan budaya.