ST Rosyam Mart Raikan Anak Yatim dan Asnaf, Lebih 1,000 Hadiri Program Buka Puasa Ala-Madinah

Suasana Ramadan yang penuh kemeriahan dan semangat kebersamaan jelas terasa apabila lebih 1,000 pengunjung memeriahkan Program Jom Berbuka Puasa Ala-Madinah yang berlangsung di ST Rosyam Mall, Jalan Kebun, Klang.

Program istimewa anjuran ST Rosyam Mart, pasar raya borong moden halal 24 jam dengan persekitaran bertaraf lima bintang ini diadakan bagi meraikan masyarakat setempat sempena bulan Ramadan. Program yang terbuka kepada semua lapisan masyarakat ini turut menjemput anak-anak yatim, golongan asnaf serta wakil masjid berhampiran untuk bersama-sama berkongsi kemeriahan berbuka puasa. Antara yang diraikan ialah anak-anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim/Miskin Klang (PEYAKIN) serta para asnaf yang diwakili oleh Masjid Telok Menegon dan Masjid Al-Muhsinin, Klang.

Program dimulakan dengan ceramah perdana yang disampaikan oleh penceramah terkenal, Ustaz Dato’ Mohammad Kazim Elias. Majlis kemudiannya diteruskan dengan sesi berbuka puasa, diikuti solat Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih secara berjemaah serta moreh bersama para pengunjung.

Selain mengeratkan ukhuwah, para pengunjung turut berpeluang menyertai acara cabutan bertuah yang menawarkan enam pakej umrah percuma tajaan ST Rosyam Mart dan Ikhlas.com. Turut ditawarkan ialah 100 buah hamper sumbangan pelbagai jenama untuk dimenangi oleh pengunjung bertuah.

Pengarah ST Rosyam Mart, Datuk Rosyam Nor berkata sambutan terhadap program berbuka puasa kali ini amat menggalakkan dan membuktikan inisiatif sebegini mampu merapatkan hubungan antara ST Rosyam Mart dengan komuniti setempat. Menurut beliau, program tersebut bukan sahaja memberi peluang kepada pihaknya untuk mendekati masyarakat dan berkongsi kemeriahan Ramadan, malah membolehkan semua yang hadir bersama-sama menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih serta menikmati moreh dalam suasana penuh kebersamaan.

Beliau turut memaklumkan bahawa penganjuran pada tahun ini lebih meriah dengan acara cabutan bertuah yang menawarkan enam pakej umrah, termasuk tiga tajaan tambahan daripada Ikhlas.com, selain 100 hamper yang disumbangkan oleh para penaja. Datuk Rosyam turut merakamkan penghargaan kepada semua penaja dan rakan strategik yang menjayakan program ini serta berharap penganjurannya pada masa akan datang dapat dilaksanakan dengan skala yang lebih besar.

Selain itu, program ini turut menyampaikan sumbangan duit raya daripada Kumpulan Sri Ternak dan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Cawangan KPDN, serta hamper saguhati daripada Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Yeo’s Malaysia kepada penghuni rumah PEYAKIN serta para asnaf. Rumah PEYAKIN dan pihak masjid turut menerima baucar tunai berjumlah RM2,000 daripada Kumpulan Sri Ternak selain Bakul Makanan sumbangan Ikhlas.com.

Program ini turut diserikan dengan pelbagai juadah percuma kepada pengunjung antaranya bubur lambuk daripada Adabi, nasi beriani ayam daripada Khulafa, nasi lemak ayam daripada Nasi Lemak Burung Hantu, 10 jenis air balang daripada 888 serta minuman tajaan Nestlé.

Para pengunjung juga membawa pulang sebanyak 1,200 beg cenderamata atau goodie bag percuma tajaan Yeo’s Malaysia. Program ini mendapat sokongan pelbagai jenama termasuk 888, Adabi, DESA, Fatihah Frozen, HONOR, Ikhlas.com, Indra Valley, Khulafa, Lycka Lycka, Mixue, Nasi Lemak Burung Hantu, Nestlé, PKPS, PUSPANITA Cawangan KPDN, RG Hair Salon dan Yeo’s.

Untuk maklumat lanjut mengenai Sri Ternak dan ST Rosyam Mart, orang ramai boleh melayari laman web https://www.sriternak.com/ serta platform media sosial Facebook, Instagram dan TikTok.