Setelah kejayaan lagu raya pertamanya, Raya Mana? yang pernah trending dua tahun lalu, Nabila Razali kembali memeriahkan musim perayaan dengan single terbaharu berjudul Tak Sabar Nak Raya!. Majlis sidang media serta berbuka puasa sempena pelancaran lagu tersebut telah berlangsung di MATRADE, Kuala Lumpur dengan tajaan daripada Sidah Catering Services (M) Sdn Bhd dan S Creative Solutions Event Entertainment Sdn Bhd.
Lagu Tak Sabar Nak Raya! merupakan ciptaan Brendan Lim Seng Meng, Denise Chan Li-Hsia, Foong Le Xin dan Asyraf Nasir, manakala MFMF bertindak sebagai produser dan penyusun muzik. Menariknya, lagu ini bukan kesinambungan langsung kepada Raya Mana?, sebaliknya boleh dianggap sebagai prekuel yang mengisahkan suasana Aidilfitri ketika dirinya masih bujang, sekali gus melengkapkan naratif raya yang pernah diketengahkan sebelum ini.

Menurut Nabila, atau mesra disapa Bella, lagu ini menonjolkan keterujaan dan kemanisan menyambut Hari Raya selepas sebulan berpuasa. Beliau menggambarkan perasaan tidak sabar untuk pulang ke kampung, membuat persiapan baju raya, membayangkan duit raya serta keterujaan bertemu saudara-mara sebagai antara momen yang cuba diterjemahkan melalui lirik dan muzik video. Katanya, lagu ini bukan sekadar hiburan, tetapi simbol semangat meraikan kemenangan dan menghayati kemanisan Syawal.
Mengulas lanjut, Nabila menjelaskan bahawa jika dalam Raya Mana? wataknya berdepan dilema memilih kampung selepas berkahwin, Tak Sabar Nak Raya! pula membawa penonton kembali ke fasa sebelum mendirikan rumah tangga, ketika masih tinggal bersama keluarga dan merantau bekerja di bandar. Dalam naratif muzik video, diceritakan detik pertemuan awal dengan watak lakonan Aizat Saha, sekali gus menghubungkan jalan cerita kedua-dua lagu tersebut.
Nabila turut berkongsi bahawa pada peringkat awal beliau hanya mendengar versi separuh siap lagu berkenaan, namun sudah tertarik dengan bahagian verse dan korusnya. Beliau kemudian mencadangkan agar ditambah elemen joget perlahan bersama sebutan “ea ea ea” bagi menyuntik warna yang lebih segar. Hasil akhir lagu tersebut menepati jangkaannya dan beliau yakin ia mampu menjadi antara siulan ramai pada musim perayaan ini.

Salah seorang komposer, Brendan Lim Seng Meng, memaklumkan bahawa lagu tersebut sememangnya dicipta khusus dengan mengambil kira karakter vokal Nabila yang cerah, manis dan mudah diterima pelbagai lapisan umur. Inspirasi lagu hadir daripada perasaan jujur setiap kali Ramadan menghampiri penghujungnya, iaitu rasa tidak sabar untuk pulang ke kampung, bertemu keluarga, mengenakan baju raya dan menikmati juadah tradisi. Struktur lagu dirangka ringkas dan mudah diingati dengan pengulangan frasa utama sebagai hook agar cepat melekat di hati pendengar. Walaupun mengakui tekanan untuk menghasilkan lagu raya yang mampu mengulangi kejayaan terdahulu, beliau menegaskan fokus utama adalah kejujuran karya dan relevansi dengan pengalaman sebenar masyarakat Malaysia.
Proses rakaman suara lagu ini mengambil masa kira-kira empat jam untuk disiapkan, dengan penampilan khas oleh Nabil Ahmad. Nabila menyifatkan kerjasama tersebut sebagai sangat profesional dan menyeronokkan kerana Nabil hadir dengan persediaan rapi serta pelbagai idea spontan yang menceriakan suasana studio. Beliau percaya kehadiran Nabil mampu memberikan impak tersendiri kepada lagu berkenaan.
Penggambaran muzik video pula mengambil masa selama 12 jam dan dijalankan di sebuah rumah kampung tradisional di Hulu Langat bagi menampilkan suasana raya yang autentik. Antara cabaran yang dihadapi termasuk penyelarasan babak tarian berkumpulan serta keadaan cuaca yang tidak menentu. Namun, dengan komitmen pasukan produksi yang efisien, keseluruhan penggambaran berjaya disempurnakan mengikut jadual.
Muzik video ini turut menampilkan Aizat Saha, MFMF serta beberapa pempengaruh media sosial seperti Aggy, King Oyen, Adik Yusuf dan Shaffiq Erwin. Nabila menyifatkan pengalaman bekerja dengan Adik Yusuf yang masih kecil sebagai sesuatu yang mencabar namun memuaskan apabila berjaya mendapatkan momen terbaik yang diperlukan. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penaja termasuk Ameco, Innershine, Sidah Catering Services (M) Sdn Bhd dan S Creative Solutions Event Entertainment Sdn Bhd atas sokongan mereka dalam menjayakan projek tersebut.
Nabila berharap lagu Tak Sabar Nak Raya! akan berkumandang di seluruh negara sepanjang musim perayaan ini dan menjadi simbol kegembiraan menyambut Hari Raya. Beliau juga mengajak pendengar untuk terus menghargai lagu-lagu raya baharu sebagaimana karya-karya klasik yang kekal malar segar.
Dalam perkembangan lain, Nabila bakal muncul menerusi mini siri 20 episod berjudul Di Sebalik Cahaya Raya yang akan mula ditayangkan di Viu pada 26 Februari 2026. Lagu Tak Sabar Nak Raya! turut dipilih sebagai runut bunyi rasmi siri tersebut. Mini siri itu mengisahkan seorang penyanyi bernama Farah yang berdepan kecaman netizen apabila single rayanya dirakam semula oleh penyanyi indie bernama Amir.
Single Tak Sabar Nak Raya! diterbitkan oleh Nabila Razali Entertainment dengan kerjasama Sony Music Entertainment Malaysia serta Malika Entertainment & Management dan kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music mulai 27 Februari 2026.