Dari Kopitiam Tempatan ke Jenama Nasional: Hock Kee Kopitiam Umum Pelaburan dan Duta Rasmi Pertama

Hock Kee Kopitiam melakar lembaran baharu dalam landskap kopitiam Malaysia dengan mengumumkan dua langkah strategik utama, iaitu penyertaan Creador Foundation dan Censuria Capital sebagai pelabur strategik serta pelantikan Bella Astillah sebagai Duta Jenama rasmi pertamanya. Pengumuman ini dibuat bersempena pembukaan cawangan ke-17, Hock Kee Heritage di Medan Pasar, sekali gus menandakan evolusi jenama ini daripada kegemaran tempatan kepada jenama kopitiam bertaraf nasional dengan hala tuju pertumbuhan yang jelas dan tersusun.

Penyertaan Creador Foundation dan Censuria Capital membawa sokongan modal institusi, kepakaran dalam pengembangan perniagaan serta disiplin operasi yang kukuh bagi mempercepat peluasan rangkaian, memperkasa platform sedia ada dan membina kepimpinan pasaran jangka panjang. Pelantikan Bella Astillah pula dijangka meningkatkan pengaruh, kerelevanan budaya dan keterlihatan jenama di peringkat nasional. Gabungan kedua-dua langkah ini mencerminkan perubahan landskap persaingan kopitiam daripada pasaran yang didominasi pemain bebas kepada kemunculan pemain nasional yang dipacu jenama dan diurus secara profesional.

Pelaburan strategik oleh Creador Foundation, cabang dermawan kepada firma ekuiti persendirian serantau Creador yang terkenal dengan pelaburan dalam jenama pengguna dan runcit berpertumbuhan tinggi, mencerminkan keyakinan kukuh terhadap asas perniagaan, kekuatan jenama serta potensi jangka panjang Hock Kee Kopitiam. Creador sebelum ini terlibat dalam pelaburan jenama terkemuka seperti BIG Pharmacy dan MR DIY. Pengasas Creador dan Pemegang Amanah Creador Foundation, Brahmal Vasudevan, menyatakan bahawa keputusan pelaburan dibuat berdasarkan keyakinan terhadap asas perniagaan yang mantap, kedudukan jenama yang unik serta potensinya untuk berkembang sebagai jenama Malaysia yang diiktiraf di peringkat nasional.

Pusingan pelaburan ini turut disertai oleh Censuria Capital yang diketuai oleh Pengerusi, Marco Yap. Firma tersebut membawa pengalaman luas dalam penciptaan nilai, pengoptimuman operasi dan pengembangan perniagaan jangka panjang merentasi sektor pengguna serta perindustrian di Malaysia. Menurut beliau, Hock Kee Kopitiam merupakan perniagaan berdisiplin yang dipimpin pengasas dan berada pada landasan kukuh untuk berkembang dengan sokongan institusi yang tepat, di samping mengekalkan keaslian yang menjadi teras kejayaannya.

Ditubuhkan pada tahun 2018, Hock Kee Kopitiam berkembang secara konsisten daripada sebuah cawangan tunggal di Johor kepada rangkaian nasional dengan 17 cawangan merangkumi pasaran utama seperti Kuala Lumpur dan Ipoh, serta bakal diperluas ke Kelantan. Pada tahun 2024, jenama ini memperoleh pensijilan Halal yang memperkukuh kebolehcapaian, keterangkuman dan daya tarikannya kepada pengguna di seluruh negara.

Pengasas Hock Kee Kopitiam, Nick Ng, menegaskan bahawa kerjasama dengan Creador Foundation dan Censuria Capital melangkaui sokongan kewangan semata-mata. Menurut beliau, kedua-dua pelabur membawa kepakaran mendalam dalam membangunkan jenama pengguna Malaysia dengan disiplin operasi yang kukuh, sekali gus mengiktiraf model perniagaan, asas jenama dan strategi jangka panjang syarikat. Pelaburan ini akan menyokong peluasan cawangan, pembangunan bakat, pengukuhan sistem operasi dan rantaian bekalan serta pembinaan jenama ketika Hock Kee memasuki fasa pertumbuhan seterusnya tanpa mengabaikan warisan kopitiam dan piawaian perkhidmatannya.

Seiring dengan pencapaian strategik ini, pelantikan Bella Astillah sebagai Duta Jenama rasmi pertama melambangkan fasa baharu dalam strategi penglibatan jenama dan hubungan dengan pengguna. Dikenali dengan keaslian, kemesraan dan hubungan rapat dengan peminat, beliau mencerminkan nilai teras yang dipegang oleh Hock Kee Kopitiam. Sebagai pelanggan setia sejak sekian lama dan pernah hadir sebagai “Friend of Hock Kee” dalam pembukaan salah satu cawangan sebelum ini, pelantikan tersebut dilihat sebagai kesinambungan hubungan jangka panjang yang dibina atas nilai kekeluargaan, kecintaan terhadap makanan dan semangat komuniti. Bella menyifatkan peluang menjadi sebahagian daripada keluarga Hock Kee secara rasmi sebagai satu penghormatan yang amat bermakna.

Pembukaan Hock Kee Heritage di Medan Pasar pula menjadi pencapaian simbolik buat jenama ini. Terletak di antara kawasan bersejarah Kuala Lumpur, cawangan tersebut mencerminkan komitmen Hock Kee untuk menghormati tradisi sambil menerapkan piawaian moden dari segi keselesaan, perkhidmatan dan konsistensi. Menurut Nick Ng, pembukaan di lokasi bersejarah itu bukan sahaja satu penghormatan, malah satu tanggungjawab untuk memelihara warisan sambil melangkah ke hadapan.

Daripada sebuah kopitiam kejiranan, Hock Kee Kopitiam kini berkembang menjadi jenama yang digemari komuniti tempatan dan pelancong antarabangsa. Di sebalik tabir, syarikat ini diperkukuh oleh sokongan modal strategik dan kepakaran institusi, manakala di hadapan, Bella Astillah membawa kemesraan dan kredibiliti sebagai wajah baharu jenama. Di terasnya, kepimpinan pengasas terus mempertahankan nilai “Makanan Lazat”, “Budaya Indah” dan “Semangat Muhibbah” sebagai asas pertumbuhan yang mampan dan berdisiplin.

Cawangan Hock Kee Kopitiam kini merangkumi beberapa lokasi di Kuala Lumpur dan Selangor termasuk Bukit Bintang, Tuah 1895 di Bukit Bintang City Centre, Nexus Bangsar South, Makan-Makan by Hock Kee, Eco Sanctuary Mall, Eco Majestic, Kota Damansara, AEON Mall Shah Alam, Sunway Square Mall dan Medan Pasar. Di Johor, rangkaian ini beroperasi di Sutera Utama, City Square Mall, Eco Botanic, Taman Molek dan Toppen Shopping Centre, manakala di Perak ia terletak di Ipoh Parade.