Wali Band Pilih Kota Kinabalu Pentas Penebusan Kekecewaan Peminat

Menyedari kekecewaan peminat di Sabah apabila konsert yang dijadualkan berlangsung di Kota Kinabalu pada tahun 2024 tidak dapat direalisasikan, Wali Band kini kembali dengan azam baharu untuk menebus momen yang tertangguh itu. Kumpulan yang dianggotai Faank selaku vokalis, Apoy (gitar), Tomi (dram) dan Ovie (papan kekunci) bakal kembali beraksi menerusi Konsert Wali Live in Kota Kinabalu anjuran 25th Studio bersama Infinity Love Creative Ventures yang akan berlangsung di SICC Kota Kinabalu, Sabah pada 12 April 2026.

Menurut vokalisnya, Faank, mereka menyedari ramai peminat di Sabah berasa kecewa apabila konsert yang sepatutnya diadakan pada 2024 tidak menjadi kenyataan. Jelasnya, mereka turut merasai kekecewaan tersebut, namun apa yang berlaku ketika itu berada di luar kawalan dan pihak kumpulan sendiri tidak dimaklumkan mengenai punca ia tidak dapat diteruskan. Apabila menerima tawaran daripada 25th Studio dan Infinity Love Creative Ventures untuk kembali menjayakan konsert di Kota Kinabalu, mereka melihat peluang itu sebagai ruang terbaik untuk menebus semula kekecewaan para peminat.

Faank turut mengakui bahawa mungkin masih ada peminat di Sabah yang berasa ragu-ragu atau kurang yakin sebaik mendengar pengumuman konsert terbaharu ini. Namun begitu, beliau berharap peminat dapat menantikan kehadiran mereka dan menegaskan bahawa mereka sendiri tidak sabar untuk kembali beraksi di hadapan peminat di negeri tersebut.

Tiket Konsert Wali Live in Kota Kinabalu akan mula dijual pada 12 Februari 2026 dengan harga RM688 bagi kategori Cari Jodoh (VIP), RM488 bagi kategori Yank (Gold), RM288 bagi kategori Baik Baik Sayang dan RM98 bagi kategori Nenekku Pahlawanku. Tiket boleh dibeli menerusi laman sesawang www.ilassotickets.com. Orang ramai juga boleh mengikuti media sosial rasmi @konsertwalikembali2026 di platform TikTok dan Instagram untuk mendapatkan maklumat terkini. Konsert ini turut mendapat sokongan Era FM Sabah dan Era Sarawak sebagai radio rasmi, manakala Astro Gempak bertindak sebagai portal rasmi.