TVS terus memperkukuh komitmennya sebagai penyiar nasional yang dinamik dengan memperkenalkan Pesta Raya TVS serta barisan kandungan khas sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, merangkumi drama bersiri popular dan program istimewa yang diraikan bersama penonton di seluruh negara. Inisiatif ini mencerminkan usaha berterusan TVS dalam menyajikan kandungan segar dan bermakna yang dekat di hati masyarakat pelbagai lapisan.
Pengumuman tersebut dibuat sempena Sidang Media Rancangan TVS 2026 yang berlangsung di Kuala Lumpur, sekali gus menzahirkan komitmen TVS dalam menghasilkan kandungan berkualiti tinggi menerusi kolaborasi strategik bersama penggiat seni dan kreatif tempatan. Pendekatan ini bukan sahaja menampilkan jalan cerita yang menarik, malah disokong oleh barisan pelakon berkaliber bagi memastikan pengalaman tontonan yang lebih berimpak.
Menurut Ketua Saluran TVS, Encik Mohd Aizal bin Ibrahim, pengenalan kandungan baharu tahun ini merupakan sebahagian daripada perancangan strategik TVS untuk menawarkan rancangan yang segar, relevan dan dekat dengan citarasa penonton masa kini. Beliau menegaskan bahawa TVS sentiasa komited membawakan kandungan yang bukan sahaja menghiburkan, malah berperanan sebagai medium penceritaan yang mencerminkan realiti kehidupan, nilai kekeluargaan serta kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia.
Antara kandungan utama yang diumumkan ialah drama ikonik Gerak Khas 2.0 yang bakal bersiaran mulai 23 April 2025. Diterajui oleh Datuk Yusof Haslam, drama ini menghidupkan semula francais popular tersebut dengan jalan cerita yang lebih sarat dengan aksi dan cabaran. TVS turut memperkenalkan drama Siti in the City yang akan mula bersiaran pada 21 April 2025, dibintangi oleh Sweet Qismina, Adam Lee, Puteri Aisyah, Ameer Dawi, Sharifah Zarina dan Michelle Lungan. Drama ini mengetengahkan kisah kehidupan urban moden dengan sentuhan emosi yang realistik dan dekat dengan realiti masyarakat hari ini.
Selain itu, drama Halalkan Aku yang menampilkan Nafiz Muaz, Aniq Durar, Jihaa Sham, Lana Nodin dan Nik Rifaie turut diperkenalkan, mengupas konflik keluarga serta isu perkahwinan tanpa kerelaan. Drama ini dijadualkan bersiaran pada Jun 2026. TVS juga membawakan drama bersiri Boneka yang dibintangi oleh Atiq Azman, Marc Benji, Nafiez Zaidi, Lisdawati, Fauzi Nawawi, Aleeza Kasim, Sera Melissa, Nina Smith dan Rahim Jailani, serta drama The Trap yang menampilkan Shaza Bae, Aidit Noh, Ali Reza dan Fian Ali, yang mengetengahkan kisah jenayah siber dan penipuan dalam talian yang semakin relevan dalam era digital.




Bagi memeriahkan sambutan Aidilfitri, TVS turut memperkenalkan Pesta Raya TVS yang diserikan dengan pelbagai program khas termasuk 3 Mak Dara Musim 2 lakonan Raja Azura, Rita Rudaini dan Sharifah Shahora, Inspirasi Duniamu & Pesta Raya, Istimewa Anggun: Seri Aidilfitri, filem pendek Raya Paling Epik serta muzik video Raya Paling Epik. Menurut Encik Aizal, barisan program khas ini dirangka bagi mengukuhkan nilai kekeluargaan dan semangat kebersamaan yang menjadi teras sambutan Aidilfitri.
Beliau turut menyatakan bahawa menerusi Pesta Raya TVS dan program-program khas ini, TVS berhasrat untuk terus menjadi platform yang menyatukan keluarga dan komuniti, di samping menyediakan ruang untuk bakat kreatif tempatan terus diketengahkan. Ke hadapan, TVS akan terus memperkukuh peranannya sebagai penyiar nasional dengan menampilkan kandungan tempatan berkualiti tinggi, memperluas kerjasama strategik industri serta memanfaatkan sepenuhnya platform televisyen dan digital bagi memenuhi keperluan dan jangkaan penonton masa kini.