Sambutan Luar Biasa Warga Selatan di Angsana Johor Bahru Mall
Karnival Jom Heboh (KJH) 2026 sekali lagi membuktikan statusnya sebagai acara padang paling digemari apabila menerima sambutan luar biasa daripada warga selatan tanah air sepanjang tiga hari berlangsung di Padang B, Angsana Johor Bahru Mall dari 30 Oktober hingga 1 November 2026. Menghimpunkan pelbagai tawaran istimewa, reruai jualan, serta aktiviti komuniti interaktif untuk seisi keluarga, karnival ini turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat termasuk Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Seri Haji Mohd Khalid bin Haji Ismail bersama isteri, Ketua Polis Johor, CP Dato’ Ab Rahaman, Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Seri (Dr) Syed Hussian Aljunid, serta Ketua Pegawai Operasi Media Prima OMNiA, Datuk Efendi Omar.
Gaya Hidup Sihat dan Kemeriahan Pentas Karnival Jom Heboh 2026
Sepanjang acara berlangsung, reruai Studio Tonton Drama Sangat (STDS) menjadi pusat tumpuan pengunjung menerusi pertandingan mewarna, Karaoke Challenge, sesi Meet & Greet bersama selebriti TV3 dan personaliti TV9, serta Pertandingan Pakaian Tradisional yang menyaksikan Nurul Aufa Iffah dinobatkan sebagai juara. Di samping itu, pengisian gaya hidup sihat turut diperkasakan menerusi acara Jom Heboh Fun Run Lari Baik-Baik bersama KWSP yang menawarkan larian 5KM dan 8KM, memberi peluang kepada para peserta beriadah santai di samping bintang drama dan selebriti popular tempatan pada pagi Ahad.

Kemuncak tiga hari penuh warna itu dizahirkan menerusi Konsert Jom Heboh yang membanjiri Padang B dengan kehadiran ribuan peminat muzik selama dua malam berturut-turut. Malam Sabtu digegarkan dengan persembahan bertenaga daripada Khai Bahar, Haiza, Nabila Razali, Ara Johari, Bunga Isme, dan Haqiem Rusli, sebelum kehangatan pentas diteruskan pada malam penutup Ahad oleh barisan artis hebat seperti Mamat Exist, Alyph, Wany Hasrita, Drama Band, serta Mariam Saim.

Selepas melakar kenangan manis di Johor Bahru, jelajah KJH 2026 bakal menuju ke destinasi kemuncak dan terakhirnya tahun ini di lokasi ikonik bersejarah berlatarkan Menara Merdeka 118, iaitu Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 27 hingga 29 November ini. Warga kota dijemput hadir beramai-ramai untuk memeriahkan acara penutup tirai berkenaan, dan maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman rasmi www.jomheboh.com.my serta akaun media sosial @jomhebohofficial.














