Dari FYP ke Realiti: FYP Macam VIP Papar Perjalanan Hidup Anak Muda

Tatkala cabaran hidup dewasa dijadikan bahan perbualan dan refleksi, lahirlah sebuah kisah yang dekat dengan realiti anak muda masa kini. FYP Macam VIP merupakan sebuah siri TikTok yang mengangkat tema ‘adulting’ melalui persahabatan, pengalaman harian dan pencarian makna dalam alam pekerjaan, disampaikan secara santai namun sarat dengan pemerhatian terhadap kehidupan sebenar generasi muda.

Dihasilkan menerusi kolaborasi strategik antara McDonald’s Malaysia dan Media Prima, siri terbitan Layar Lucida ini diarahkan oleh Junaidah Mohd Nor serta Syahnur Asyikin Kee Charles. Ia dibintangi oleh Rykarl Iskandar, Zaki Yamani, Mia Sara Nasuha dan Serra Kamal. Merangkumi enam episod berdurasi dua hingga tiga minit setiap satu, FYP Macam VIP bakal ditayangkan secara eksklusif di platform TikTok rasmi Drama Sangat, iaitu @dramasangat, bermula 14 Januari 2026 pada jam 9.00 malam setiap hari Rabu dan Khamis.

Menggabungkan elemen podcast dan sitkom dalam satu format yang segar, siri ini mengikuti perbualan sekumpulan sahabat lama yang sedang melalui fasa peralihan ke alam dewasa. Setiap episod mengupas isu-isu kecil kehidupan seharian, daripada perkara remeh sehinggalah dilema peribadi, sebelum berkembang menjadi refleksi yang lebih mendalam tentang nilai, empati dan pengalaman hidup yang dikongsi bersama.

Empat sahabat ini terdiri daripada Alif, lakonan Rykarl Iskandar, seorang pekerja McDonald’s yang mesra dan suka membantu; Faris, lakonan Zaki Yamani, yang gemar menunjuk kepandaian serta paling serius dalam mengendalikan podcast; Alia, lakonan Mia Sara Nasuha, seorang yang matang dan berpendidikan; serta Farah, lakonan Serra Kamal, yang kekok dalam pergaulan dan sangat terikat dengan dunia digital. Mereka berkongsi kisah kehidupan seharian menerusi sebuah podcast yang dirakam di rumah Faris, dengan perbualan yang jujur, terbuka dan penuh keakraban.

Menariknya, latar pekerjaan Alif di McDonald’s disepadukan secara semula jadi dalam jalan cerita, sekali gus memperlihatkan bahawa cabaran hidup tidak semestinya bercanggah dengan komitmen kerja. Walaupun berdepan pelbagai dugaan, pekerjaannya tetap menyediakan sokongan, kemudahan, fleksibiliti serta peluang perkembangan diri, menjadikannya satu pengalaman penting dalam perjalanan membina masa depan.

Menurut Pengurus Besar Kandungan TV3 dan TV9, Puan Marlia Zul Amran, FYP Macam VIP dihasilkan sebagai refleksi jujur terhadap realiti anak muda hari ini yang hidup di persimpangan antara dunia sebenar dan platform dalam talian. Menerusi kolaborasi bersama McDonald’s Malaysia, siri ini membuka ruang penceritaan yang lebih dekat dan relevan, bukan sahaja berkaitan alam pekerjaan, malah tentang proses peralihan ke alam dewasa yang sering dipenuhi persoalan dan pembelajaran.

Sementara itu, Pengarah Kanan Jenama McDonald’s Malaysia, Azman Mohammad, berkata bahawa majoriti daripada 16,000 tenaga kerja McDonald’s terdiri daripada Generasi Z yang hidup dalam dunia digital, di mana hiburan dan maklumat berada di hujung jari. Melalui kerjasama strategik bersama TV3 untuk siri FYP Macam VIP, pihaknya mengetengahkan realiti bekerja di McDonald’s melalui jalan cerita yang menarik dan platform yang dekat dengan generasi muda, sambil menunjukkan bahawa McDonald’s merupakan tempat untuk mengasah kemahiran, membina keyakinan dan mengembangkan kerjaya.

Siri TikTok ini telah dilancarkan menerusi sesi Media Appreciation Day yang berlangsung di Pandu-Lalu McDonald’s Pantai Sentral Park, Pantai Dalam, Kuala Lumpur. Majlis tersebut menghimpunkan wakil media, rakan strategik, pasukan produksi serta barisan pelakon dalam suasana santai, selain menampilkan sesi perkongsian dan tayangan eksklusif episod pertama dan kedua FYP Macam VIP.

Untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai drama kegemaran anda, ikuti platform media sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 di @TV3Malaysia, serta Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat.