Kempen “Cuti-Cuti MLBB Bersama Ejen Ali” tampil sebagai sorotan utama di Kejohanan Dunia M7 (M7), membawa watak animasi kebanggaan Malaysia, Ejen Ali, ke pentas global Mobile Legends: Bang Bang (MLBB). Dilahirkan daripada imaginasi tempatan, kempen ini bukan sahaja menonjolkan nilai keberanian dan kerjasama yang dekat di hati penonton muda Asia Tenggara, malah mengangkat Ejen Ali sebagai simbol penghubung antara hiburan tempatan dan komuniti e-sukan antarabangsa. Kolaborasi berterusan antara animasi tempatan dan syarikat permainan video antarabangsa, MOONTON Games, terus membuka ruang untuk kandungan tempatan menyerlah di peringkat global.
Dilancarkan bersempena cuti persekolahan dan kemeriahan Kejohanan Dunia M7, kempen ini menampilkan Ejen Ali dalam pelbagai aktivasi di sekitar Jakarta, dengan kemunculan istimewa yang membolehkan watak ikonik ini berinteraksi secara langsung bersama peminat serta komuniti gaming. Kerjasama ini memperlihatkan bagaimana kandungan hiburan mampu merentas sempadan, menghubungkan peminat e-sukan dan mencipta detik budaya yang bermakna dalam landskap permainan kompetitif.
Mulai sekarang hingga 16 Januari 2026, pemain MLBB di Malaysia dan Indonesia berpeluang menuntut kandungan Ejen Ali edisi terhad menerusi aktiviti dalam permainan serta cabaran di TikTok. Antara ganjaran percuma yang ditawarkan termasuk emote eksklusif “Sedia!” dan “Satria, Bangkit!”, selain spawn effect khas yang menampilkan gaya unik wira Malaysia ini di Land of Dawn.


Kejohanan Dunia M7 merupakan edisi ketujuh siri kejohanan M yang menghimpunkan 22 pasukan terbaik dunia ke Jakarta, Indonesia, dari 3 hingga 25 Januari 2026, bagi merebut hadiah keseluruhan bernilai USD1 juta. Selain menobatkan juara dunia, M7 kini berkembang sebagai sebuah pentas budaya global di mana dunia permainan, hiburan dan identiti nasional bertemu. Kehadiran Ejen Ali di kejohanan ini sekali gus menegaskan peranan M7 dalam meraikan wira serantau di pentas antarabangsa.

Orang ramai dan peminat MLBB dijemput untuk menyertai kempen Cuti-Cuti MLBB Bersama Ejen Ali serta menuntut ganjaran eksklusif dalam permainan sebelum 16 Januari 2026. Untuk maklumat lanjut dan kandungan terkini, ikuti saluran rasmi MLBB dan Ejen Ali di media sosial serta sertai perbualan menggunakan tanda pagar #CutiCutiMLBB #MLBBxEjenAli #MobileLegendsBangBang #EjenAli.












