Sime Darby Property Bina Masa Depan Komuniti Melalui Inisiatif CSR Berkesan

Sime Darby Property Berhad terus memberikan impak bermakna kepada masyarakat menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat yang bersasar, selaras dengan komitmen Kumpulan untuk memperkasa komuniti serta memelihara alam sekitar di seluruh Malaysia. Berpandukan prinsip pertumbuhan inklusif dan pembangunan yang bertanggungjawab, agenda CSR Kumpulan memberi tumpuan kepada pemerkasaan ekonomi, pembangunan belia serta kelestarian alam sekitar bagi memperkukuh daya tahan komuniti dan meningkatkan kualiti hidup.

Salah satu teras utama inisiatif CSR Sime Darby Property ialah Program Pemerkasaan Ekonomi atau Economic Empowerment Programme (EEP), yang menyokong pembangunan usahawan mikro dalam perbandaran Sime Darby Property. Pada tahun 2025, seramai 39 usahawan telah menamatkan Fasa 2 program ini dengan mencatat purata peningkatan pendapatan sebanyak 242 peratus, manakala 79 peratus daripada peserta merekodkan pendapatan bulanan yang lebih tinggi dengan purata RM7,643. Di samping itu, peserta turut mencatat peningkatan purata sebanyak 110 peratus dalam pengetahuan perniagaan, manakala 87 peratus berjaya memperluaskan kehadiran digital mereka melalui platform seperti TikTok dan WhatsApp Business, sekali gus meningkatkan capaian pasaran dan kemampanan jangka panjang. Program ini dilaksanakan dengan kerjasama People Systems Consultancy, mencerminkan fokus Kumpulan dalam membina perniagaan tempatan yang berdaya tahan dan mampu berdikari.

Antara kisah kejayaan program ini ialah Noradini Haji Abdul Razak, seorang usahawan yang mengusahakan perniagaan makanan dari rumahnya di Bandar Bukit Raja. Selepas menamatkan program EEP, beliau berjaya mempelbagaikan tawaran produknya, memperoleh kontrak katering berskala lebih besar serta mengambil seorang kakitangan sepenuh masa. Transformasi perniagaan ini dicapai dalam keadaan beliau menjaga suaminya yang menghidap penyakit limfoma, dengan pendapatan bulanan meningkat sehingga 900 peratus. Menurut Noradini, sebelum menyertai program tersebut, beliau tidak pernah berani menerima tempahan katering berskala besar atau berkembang di luar zon selesa. Namun, melalui bimbingan dan sokongan yang diterima, beliau memperoleh keyakinan untuk membina semula perniagaannya serta memperkukuh jati diri, sekali gus menembusi pasaran baharu.

Selain pemerkasaan ekonomi, inisiatif CSR Sime Darby Property turut merangkumi pembangunan belia, pendidikan dan pemerkayaan budaya. Menerusi Program Sukarelawan Sime Darby Property, seramai 733 sukarelawan telah menyumbangkan hampir 3,000 jam perkhidmatan kepada komuniti setempat. Kempen Fabric Recycling Movement pula berjaya mengumpul sebanyak 81,640 kilogram fabrik terpakai, menyokong amalan ekonomi kitaran dengan mengalihkan sisa tekstil daripada tapak pelupusan serta menggalakkan penggunaan yang lebih bertanggungjawab.

Melalui Program Kembali Ke Sekolah, Sime Darby Property telah menyokong seramai 894 pelajar daripada 10 buah sekolah di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan bagi membantu persediaan menghadapi tahun akademik. Usaha pembangunan kepimpinan belia turut diperkukuh melalui kerjasama dengan Kesatuan Ragbi Selangor yang melibatkan 130 pelajar daripada sembilan sekolah di Daerah Petaling Perdana, bertujuan memupuk disiplin, semangat kerja berpasukan dan keyakinan diri.

Pemeliharaan warisan budaya turut diberi perhatian melalui penganjuran Bengkel Tarian di Sekolah Kebangsaan Setapak Indah dan Sekolah Kebangsaan Putra Heights 2, yang memperkenalkan lebih 540 pelajar kepada tarian tradisional Melayu, Zapin. Bengkel ini dikendalikan oleh 24 jurulatih dan disokong oleh kira-kira 60 orang guru, sekali gus menyediakan pengalaman pembelajaran yang menyeluruh bagi menyokong pembangunan holistik pelajar.

Kelestarian alam sekitar kekal sebagai komponen penting dalam pendekatan CSR Kumpulan. Menerusi inisiatif seperti Hooked on Biodiversity: Invasive Fish Out, Native Species In, seramai 24 sukarelawan terlibat dalam usaha memulihkan keseimbangan ekologi di perairan tempatan selari dengan agenda biodiversiti bandar Kumpulan. Sime Darby Property turut menganjurkan Kempen Kitar Semula Let’s Protect Our Earth di KL East Mall dan Ara Damansara bagi meningkatkan kesedaran awam terhadap amalan penggunaan dan pengurusan sisa yang bertanggungjawab.

Di KL East Mall, sukarelawan berjaya mengalihkan 38 kilogram minyak masak terpakai dan 83 kilogram bahan kitar semula daripada tapak pelupusan. Sementara itu, kempen di Ara Damansara berjaya mengumpul 200 kilogram fabrik terpakai, 250 kilogram sisa elektronik, hampir 300 kilogram kertas, 31 kilogram plastik, 22 kilogram besi serta 31 kilogram minyak masak terpakai, yang kesemuanya disalurkan kepada rakan kitar semula bertauliah.

Berteraskan matlamat untuk menjadi Pengganda Nilai kepada masyarakat, perniagaan, ekonomi dan planet, inisiatif CSR Sime Darby Property mencerminkan komitmen berterusan Kumpulan dalam menyampaikan impak positif yang melangkaui pembangunan fizikal. Usaha kolektif ini menegaskan peranan Sime Darby Property sebagai pemaju yang bertanggungjawab dan berpaksikan tujuan, di mana kemajuan bukan sahaja diukur melalui pembangunan yang dilaksanakan, tetapi juga melalui kehidupan yang menerima manfaat dan perubahan positif.