Bintang pop tersohor Indonesia, Raisa, bakal kembali mengubat kerinduan peminat di Malaysia melalui konsert jelajah terbaharunya, Raisa Ambivert Tour. Persembahan yang amat dinantikan ini dijadualkan berlangsung pada 13 Februari 2026 bertempat di Zepp Kuala Lumpur, bermula jam 8.30 malam. Konsert ini dianjurkan bersama oleh Sembang Kari Entertainment dan MHT Live My, dengan Juni Concert sebagai rakan penganjur, dan akan menyaksikan Raisa membawakan naratif seni yang lebih peribadi menerusi tema “Ambivert”. Tema ini mencerminkan sisi personaliti beliau yang unik, menggabungkan elemen dinamik dan emosi dalam satu persembahan penuh bertenaga.

En Mohd Fuad bin Simim, Pengarah Sembang Kari Entertainment, berkata bahawa membawa Raisa kembali ke Kuala Lumpur adalah satu penghormatan kerana beliau mempunyai hubungan emosi yang sangat kuat dengan peminat di sini. “Menerusi konsep ‘Ambivert’ ini, kami ingin memberi ruang kepada peminat untuk melihat sisi Raisa yang lebih jujur—ada masanya suasana menjadi sangat dekat dan ‘healing’, manakala ada masanya penuh dengan keriangan pop yang dinamik. Kami mahu setiap penonton pulang dengan rasa puas setelah melalui sebuah kembara perasaan yang diceritakan menerusi vokal hebat beliau,” katanya.
En Adi Acong, wakil penganjur bersama dari MHT Live My, turut berkongsi rasa teruja beliau mengenai konsert ini. Menurut beliau, Raisa adalah seorang pencerita hebat melalui lagu-lagunya dan melalui tema unik ini, peminat akan menikmati pengalaman audio-visual istimewa di Zepp Kuala Lumpur. “Kami komited memastikan setiap aspek produksi berada pada tahap tertinggi demi memberikan memori yang tidak akan dilupakan oleh semua peminat Raisa di Malaysia,” tambahnya.
Raisa sendiri menyatakan rasa tidak sabar untuk bertemu peminat di Malaysia. Beliau berkata, “Kuala Lumpur sentiasa mempunyai tempat yang istimewa di hati saya kerana sokongan peminat yang luar biasa dan sentiasa memberikan tenaga positif. Menerusi ‘Ambivert Tour’, saya ingin membawa penonton menyelami dua sisi berbeza dalam diri saya; ada masanya yang sangat intim dan tenang, dan ada masanya yang penuh dengan keriangan. Saya telah menyediakan susunan muzik yang istimewa untuk malam itu dan tidak sabar untuk mencipta kenangan baharu bersama anda semua.”

Konsert ini juga akan bertambah meriah dengan penampilan artis jemputan, Barsena Bestandhi, yang akan memberikan warna muzik berbeza pada malam tersebut. Pihak penganjur menyediakan pelbagai kategori tiket bagi memastikan pengalaman menonton yang terbaik, termasuk VIP BOX dengan harga RM999 seorang, yang menawarkan kotak eksklusif termasuk sesi ramah mesra dan barangan khas; CAT 3 pada harga RM599 dan CAT 4 pada harga RM499 untuk tempat duduk bernombor; manakala CAT 1 (RM269) dan CAT 2 (RM239) adalah untuk kawasan berdiri. Harga tiket tidak termasuk yuran pemprosesan dan caj tiket, dan kemudahan pembayaran ansuran turut disediakan melalui SPayLater, PayLater by Grab, dan Atome. Pemegang tiket VIP BOX akan menerima beg tote, lanyard VIP, poster, snek, serta peluang eksklusif menyertai sesi ramah mesra bersama Raisa. Tiket boleh didapati melalui laman web rasmi di RAISAMBIVERT.COM.
Sembang Kari Entertainment dan MHT Live My merupakan syarikat pengurusan acara yang komited dalam membawakan pengalaman hiburan berkualiti tinggi dan acara muzik bertaraf antarabangsa ke pentas Malaysia. Untuk maklumat lanjut dan urusan media, sila hubungi Mohd Redzuan (Cipot) di 019-2794499 atau emel cipotredz@gmail.com.