Usahawan dan personaliti terkenal, Dato’ Seri Vida (DSV), kembali menghangatkan industri muzik tanah air menerusi single terbaharunya berjudul Lagu Happy. Lagu ini merupakan salah satu runut bunyi bagi filem fantasi komedi keluarga, Duyung Legenda Aurora, yang bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 25 Disember 2025.
Dicipta oleh Syahmi Muffin dengan lirik nukilan Neo, Lagu Happy menampilkan melodi yang segar, bertenaga dan sarat dengan elemen positif. Susunan muzik yang ringan serta vibe ceria menjadikan lagu ini mudah dihayati, sekali gus menyampaikan mesej motivasi agar pendengar melepaskan tekanan dan menghadapi segala cabaran hidup dengan hati yang tenang. Secara tidak langsung, lagu ini turut mengimbau kenangan terhadap lagu ikonik Aspalela dan Yahoo daripada filem Duyung pertama.
Menurut Dato’ Norman Abdul Halim, lagu ini dihasilkan dengan konsep yang fun dan bersifat universal. Selepas mempertimbangkan beberapa nama, DSV dipilih kerana perwatakannya yang sentiasa ceria serta tidak mudah mengalah, selari dengan tema lagu ini. Lagu Happy merupakan lagu “sing-along” yang mudah didengar dan sesuai untuk semua peringkat usia.
Sementara itu, Dato’ Seri Vida berkata lagu ini lahir daripada pengalaman hidup serta falsafah peribadinya. Happy mencerminkan kepercayaan beliau bahawa kebahagiaan adalah satu pilihan. Walau apa jua cabaran yang dihadapi dalam hidup, setiap individu tetap berhak untuk bergembira dan bersyukur setiap hari. Dato’ Seri Vida turut berharap lagu ini dapat memberi impak positif kepada pendengar. “Saya mahu Lagu Happy menjadi lagu yang mampu menceriakan hari sesiapa sahaja yang mendengarnya. Lagu ini membawa energi positif dan mengingatkan bahawa kebahagiaan datang dari dalam diri kita sendiri,” tambah beliau.
Lagu Happy buat pertama kalinya telah dipersembahkan secara eksklusif oleh DSV pada Malam Gala Filem Duyung Legenda Aurora yang berlangsung pada Rabu lepas. Yang menarik, Dato’ Seri Vida turut tampil sebagai duyung berwarna merah jambu dalam video muzik Lagu Happy, arahan pengarah muda Farah Khalid.
Lagu ini, yang diedarkan oleh Sony Music Entertainment, kini boleh distrim di semua platform penstriman digital mulai 19 Disember 2025. Video muzik rasmi pula akan ditayangkan di saluran YouTube Nadi Studios pada jam 8 malam, 22 Disember 2025.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Felicia David, Pengurus Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif, KRU Music Sdn Bhd.