Apabila cinta diragut dan keluarga berpaling, seorang wanita boleh kehilangan segalanya dalam sekelip mata. Persoalannya, mampukah dirinya bangkit semula daripada runtuhan hidup yang memusnahkan jiwa? Perempuan Tidak Ternikah hadir sebagai sebuah drama sarat emosi yang menyentuh sisi gelap cinta, pengorbanan dan kehancuran, dan bakal menemui penonton mulai 17 Disember 2025, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di slot Akasia TV3.
Drama ini menampilkan lakonan mantap Elizad Sharifuddin sebagai Keisya, digandingkan bersama Yusuf Bahrin, Shahz Jaszle, Ali Reza, Raden Zaharatul, Kaza, Sharifah Shahora dan Gabriel Chung. Setiap episod membawa penonton menyelami penderitaan seorang wanita yang diuji tanpa belas, dipaksa mengumpul kekuatan untuk bangkit daripada tragedi demi tragedi yang meruntuhkan hidupnya.
Kisah Perempuan Tidak Ternikah berpusat pada Keisya, seorang gadis yang dibesarkan oleh neneknya selepas ibu bapanya berpisah. Dalam hidup yang serba rapuh, tunangnya Adli menjadi satu-satunya tempat Keisya bersandar, terutama ketika ayah kandungnya Malik cuba mengambil kesempatan terhadap dirinya. Ujian demi ujian terus menghimpit Keisya apabila terbongkar rahsia silam bahawa dia sebenarnya anak luar nikah, dan Malik menuntut wang sebagai syarat untuk menandatangani surat pengakuan pernikahan.
Didorong oleh cinta, Keisya dan Adli mengambil keputusan untuk bernikah di Siam. Namun kebahagiaan yang diimpikan hanya bertahan seketika apabila neneknya meninggal dunia akibat serangan jantung, disusuli kematian Adli dalam kemalangan jalan raya. Kehilangan dua insan tersayang ini menjerumuskan Keisya ke dalam kemurungan yang mendalam, ditambah pula dengan penolakan keluarga Adli terhadap dirinya dan anak yang dikandung.
Ketika hidupnya hampir musnah sepenuhnya, Keisya diselamatkan oleh Rayyan, seorang lelaki yang membantunya bangkit dan memulakan kehidupan baharu di sebuah rumah kebajikan. Walaupun benih cinta mula berputik, trauma masa lalu membuatkan Keisya menutup pintu hatinya. Dia memilih untuk melarikan diri, takut untuk kembali percaya pada kebahagiaan yang pernah menghancurkannya.
Perempuan Tidak Ternikah mengangkat persoalan yang dekat dengan realiti masyarakat. Mampukah seorang wanita bangkit apabila segalanya dirampas daripadanya? Bolehkah hati yang terluka kembali percaya kepada cinta dan masa depan? Drama ini bukan sekadar kisah cinta yang tidak kesampaian, tetapi sebuah naratif tentang maruah, trauma dan luka yang terpendam dalam diri seorang wanita yang sering menjadi mangsa keadaan dan keputusan orang lain.
Dengan penceritaan yang penuh emosi, konflik keluarga yang mendalam serta lakonan berkesan daripada barisan pelakon berpengalaman, Perempuan Tidak Ternikah menjanjikan pengalaman tontonan yang menyentuh perasaan dan meninggalkan kesan berpanjangan kepada penonton.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Perempuan Tidak Ternikah bermula 17 Disember 2025, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di slot Akasia TV3. Episod baharu juga boleh distrim 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my atau melalui aplikasi Tonton di Google Play dan App Store. Untuk perkembangan terkini, penonton boleh mengikuti saluran rasmi TV3 di Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia serta Instagram Drama Sangat di @dramasangat.