Persembahan DiA Misha Omar Gemparkan Mega Star Arena

Konsert DiA Misha Omar menjadi detik bersejarah buat peminat apabila Misha Omar, pemenang tiga kali Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu (AJL), kembali menggegarkan industri dengan pementasan penuh jiwa di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 29 November 2025. Pemilik vokal lantang yang baru sahaja mencuri perhatian menerusi single terbaharunya, Break, tampil dengan sebuah persembahan yang dirangka sebagai keraian perjalanan seni sepanjang lebih dua dekad berkarya.

DiA Misha Omar, sebuah judul yang ringkas namun sarat makna, merupakan sebuah penghargaan terhadap perjalanan muziknya dan tanda terima kasih kepada peminat yang setia menyokong sejak awal kerjayanya. Konsert ini juga menandakan fasa baharu bagi Misha, memandangkan beliau jarang mementaskan konsert berskala besar atas pilihan sendiri. Dengan DiA Misha Omar, janji yang disemai kepada para pendengar akhirnya ditunaikan sepenuhnya.

Konsert ini dibawakan oleh Double M Production dengan Altus Prohouse sebagai pengurusan konsert. Barisan produksi turut diperkuatkan oleh Jennifer Thompson selaku penerbit konsert, Simon Khoo sebagai pengarah teknikal, Datuk Syafinaz sebagai pengarah vokal, Sze Wan sebagai pengarah muzik dan Hamzah Tahir sebagai pengarah artistik.

Persembahan DiA Misha Omar diperkasakan oleh barisan pemuzik profesional yang membawa nyawa kepada setiap lagu. Sze Wan bertindak sebagai pengarah muzik dan programmer, disertai pemuzik berbakat seperti Hin Ee Jeng dan Birg Abeysekra di keyboard, Ken Chung di bass, Derrick Seow di dram serta Marcus Leong dan CJ di gitar. Turut mengiringi persembahan ialah seksyen strings yang diketuai Brian Larson bersama Ergys Koni, Toko Inomoto dan Jin Yen, serta vokal latar oleh Daniel, Widy dan Eja.

Sepanjang malam, Misha membawakan rangkaian lagu hits yang merentasi era kerjayanya. Persembahan bermula dengan Intro Bunga-bunga Cinta, diikuti medley pembukaan Hati Keliru dan Terpana. Antara lagu lain yang dipersembahkan ialah Ku Seru, Halaman Cinta, Sembunyi, Lilitan Asmara, Tanpa Rela, Nafas Cahaya, Angin Syurga, Terimaku Seadanya, Destiny dan Permainan Hati. Misha turut menghadiahkan lagu-lagu berhantu seperti Untuk Bermimpi, Debu Cinta, Sampai Di Sini, Cinta Adam & Hawa, Masihkah Ada Rasa Itu, Pulangkan, Break dan Sampai Bila.

Momen istimewa tercipta melalui Adnan Tribute Medley yang menghimpunkan Jerat Percintaan, Gubahan Rindu Puisi Syahdu dan Renungan Terakhir sebagai penghargaan terhadap maestro muzik tempatan. Di penghujung persembahan, Misha kembali dengan Bunga-bunga Cinta, mengakhiri malam dengan penuh emosi dan nostalgia.

DiA Misha Omar bukan sekadar sebuah konsert, tetapi catatan perjalanan seni yang menggambarkan kematangan, ketulenan dan kekuatan seorang penghibur yang terus relevan dalam industri. Malam tersebut menjadi saksi bahawa Misha Omar tetap utuh sebagai antara vokalis terbaik negara, dan konsert ini akan terus dikenang oleh peminat sebagai antara persembahan terbaiknya.