Malaysia Year-End Sale 2025 Pacu Momentum Tahun Melawat Malaysia 2026

Kempen Jualan Akhir Tahun Malaysia 2025 kembali dengan tawaran lebih besar dan menyeluruh, selari dengan usaha menawarkan pengalaman membeli-belah terbaik kepada pelawat dalam dan luar negara. Bermula 15 November 2025 hingga 1 Januari 2026, kempen ini menampilkan lebih 100 tawaran dan aktiviti menarik di seluruh negara, termasuk potongan harga sehingga 70% di pusat beli-belah serta gedung runcit terpilih, program jualan tengah malam dan hadiah cabutan bertuah.

Sepanjang tempoh kempen, pelawat tempatan dan antarabangsa berpeluang menikmati pakej penginapan istimewa serta promosi eksklusif di taman tema, spa dan premis makanan dan minuman. Lebih 70 tawaran percutian turut disediakan oleh rangkaian hotel di seluruh negara, dengan harga bilik bermula serendah RM99. Kempen ini juga memperkenalkan pakej kembara warisan Malaysia bagi menarik minat pelancong yang mencari pengalaman unik.

Pelawat yang menempah tiket Malaysia Airlines dari beberapa destinasi utama seperti Australia, New Zealand, Great Britain, Hong Kong, India, Jepun, Korea, Taiwan, Singapura, Thailand, Indonesia, Vietnam dan Perancis turut berpeluang menikmati diskaun sehingga 30%. Tempahan boleh dibuat melalui platform Trip.com, Expedia, Agoda dan Traveloka.

Kempen ini turut diserikan dengan acara jualan berskala besar di beberapa lokasi terpilih. AEON Mall akan menganjurkan Black Friday Midnight Sale di lima cawangan iaitu AEON Mall Cheras Selatan, AEON Mall Tebrau City, AEON Mall Bukit Mertajam, AEON Mall Ipoh Station 18 dan AEON Mall Kuching Central dari 28 hingga 30 November 2025. Acara ini menawarkan pelbagai aktiviti seperti persembahan kebudayaan, Durian Fest, Black Sport Day, Pickleball Tournament, Black Friday Night Run dan Havoc Food Fair. AEON Mall Kota Bharu pula akan meneruskan kemeriahan pada 30 Disember 2025.

Mitsui Outlet Park KLIA Sepang akan menganjurkan Black Friday Late Night Sale pada 28 dan 29 November 2025, dengan waktu operasi dilanjutkan sehingga tengah malam. Sepanjang dua hari tersebut, pengunjung berpeluang mendapatkan baucar Black Friday, tawaran Happy Hour Specials dan penyertaan cabutan bertuah.

Utama Shopping Centre juga akan menyertai kemeriahan Black Friday Sale dari 28 hingga 30 November 2025. Pada 28 November, waktu operasi dilanjutkan sehingga 11 malam, dan pengunjung yang berbelanja antara 9 malam hingga 11 malam berpeluang menerima cenderamata eksklusif.

Sambutan Tahun Baharu 2026 pula akan digamatkan oleh Sunway Velocity Mall dan Sunway Big Box Retail Park yang menawarkan pelbagai persembahan istimewa dan aktiviti menarik pada 31 Disember 2025. Kedua-duanya akan beroperasi sehingga jam 1 pagi dan menampilkan pertunjukan bunga api serta konsert mini dengan artis tempatan dan antarabangsa.

Dengan sokongan Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPKM), Persatuan Peniaga Runcit Malaysia (MRA), Persatuan Rantaian Peruncitan Malaysia (MRCA), Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga Malaysia (MATFA) serta Malaysia Aviation Group (MAG), kempen ini memperkukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026. Ia membuka ruang kepada pelawat tempatan dan antarabangsa untuk menikmati pengalaman membeli-belah dan percutian yang lebih menarik.

Maklumat lanjut mengenai tawaran dan aktiviti kempen boleh didapati di laman web Tourism Malaysia di www.malaysia.travel/explore/national-sales-campaign.