Rumah produksi SR One Sdn. Bhd. bersama penerbit prolifik Siti Rosmizah kembali mencuri perhatian peminat drama tempatan menerusi karya terbaharu berjudul Mutiara Dalam Debuan Kabus, yang kini bersiaran di Astro Ria melalui slot MegaDrama, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam.
Drama 24 episod arahan Harris Fadzillah ini merupakan adaptasi daripada novel popular karya Siti Rosmizah sendiri, yang juga kesinambungan kepada novel terdahulu, Dedaun Hijau Di Angin Lalu.
Apa yang menarik, drama ini menyatukan dua pelakon hebat, Zahiril Adzim dan Emma Maembong, dalam kolaborasi perdana yang cukup dinantikan. Gabungan mereka sebagai pasangan utama ternyata berjaya mencetuskan kehangatan dan konflik emosi yang memikat penonton.
Zahiril membawakan watak Uzzam Zulkarnaian, seorang lelaki berjiwa keras dan penuh amarah yang terpaksa menikahi Aslin (lakonan Emma Maembong) selepas diperangkap. Sementara itu, Aslin digambarkan sebagai wanita licik yang hidup dalam permainan muslihat, enggan tunduk sebelum perjanjian perkahwinan mereka berakhir.

Menariknya, Mutiara Dalam Debuan Kabus menampilkan jalan cerita yang hampir sepenuhnya mengekalkan elemen dari novel asal sarat dengan konflik keluarga, cinta, dendam dan pengkhianatan yang dekat dengan realiti masyarakat hari ini.
Sejak mula tayangan pada 6 Oktober 2025, penonton memberikan reaksi luar biasa. Ramai yang geram dengan watak Aslin dan keluarganya yang mata duitan, malah kagum dengan lakonan mantap Zahiril yang tenang namun penuh dendam terpendam.
Walaupun berlatarkan kisah rumah tangga dan perebutan harta, naskhah ini tidak sekadar menawarkan drama klise. Ia menggambarkan sisi gelap emosi manusia dan pilihan yang diambil apabila cinta dan ego berperang dalam satu hubungan.
Dengan reputasi cemerlang SR One Sdn. Bhd. menghasilkan karya-karya berkualiti sebelum ini, drama ini sekali lagi membuktikan kemampuan mereka menampilkan konflik yang relevan dan dekat di hati penonton.
Selain Emma dan Zahiril, drama ini turut dibintangi oleh Watie Elite, Jasmin Hamid, Safura Ya’akob, Natasya Mahyan, Khaty Azian, Manan Sulaiman, dan Faye Kusairi, menjadikannya antara produksi paling besar tahun ini.