Usaha GGR Motor untuk menjadi pengeluar motosikal elektrik (EV) pertama negara menerima suntikan semangat apabila Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan hadir mengadakan lawatan kerja ke kilangnya baru-baru ini.
Seramai 25 anggota JPJ WP diketuai Timbalan Pengarahnya, Eric Jusiang, melawat kilang GGR Legacy (M) Sdn Bhd di Kampung Sungai Penchala, di mana mereka diberi pendedahan tentang proses pemasangan serta operasi motosikal EV. Lawatan ini bertujuan meningkatkan kefahaman pihak berkuasa terhadap industri baharu itu sekali gus memastikan pengeluaran kenderaan elektrik berjalan mengikut piawaian dan peraturan sedia ada.
Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Mussaddiq Mohamed Azmi, berkata lawatan tersebut merupakan titik permulaan penting bagi melancarkan prosedur operasi standard (SOP) pengeluaran motosikal EV tempatan. Beliau menyifatkan kunjungan JPJ itu sebagai satu penghargaan besar kepada usaha GGR Motor dalam membangunkan industri mobiliti hijau di Malaysia.
Kunjungan itu turut disambut oleh Pengerusi GGR Motor, Tengku Syarif Temenggong Perlis, Datuk Seri Diraja Syed Amir Abidin Jamalullail. Selain diberi taklimat operasi, anggota JPJ berpeluang meninjau secara langsung pemasangan motosikal Lion G1 serta melawat pusat jualan aksesori, bengkel servis dan bahagian operasi syarikat.

Menurut Mussaddiq, motosikal EV Lion G1 kini boleh didaftarkan secara rasmi melalui sistem JPJ sejak 1 September lalu. Lebih 6,000 tempahan telah diterima dan dijangka akan diserahkan kepada pemilik dalam masa terdekat. Lion G1 yang dibangunkan hasil penyelidikan tempatan itu dikhususkan untuk pasaran Malaysia dengan penekanan terhadap kos mampu milik dan mesra alam.
Beliau turut mendedahkan bahawa GGR Motor merancang membina sebuah kilang pemasangan baharu di utara Semenanjung bagi memenuhi permintaan tinggi, dengan sasaran pengeluaran 30,000 unit menjelang akhir 2025. Kilang tersebut dijangka mencipta lebih 50 peluang pekerjaan baharu dalam bidang teknologi hijau dan automotif elektrik.
Dalam masa sama, kerjasama strategik bersama rakan industri seperti PMH Motor, Bateriku.com, MARA dan Petronas Lubricants Marketing Malaysia (PLMM) akan terus memperkukuh rantaian bekalan, latihan teknikal dan penyelenggaraan, seterusnya meletakkan Malaysia sebagai hab pengeluaran motosikal EV utama di rantau ASEAN.