Ramai rakyat Malaysia berdepan keresahan apabila memikirkan soal kestabilan kewangan, terutamanya golongan berpendapatan rendah. Menyedari cabaran ini, FWD Insurance Berhad dengan kerjasama Bank Simpanan Nasional (BSN) memperkenalkan pelan mikroinsurans baharu, Qaseh Setia, yang menawarkan perlindungan asas pada kadar yang sangat berpatutan.
Dilancarkan pada April 2025, Qaseh Setia telah memberi manfaat kepada lebih 20,000 pelanggan dalam tempoh singkat, menunjukkan keyakinan tinggi orang ramai terhadap produk ini. Dengan hanya RM0.20 sehari, pelan ini memberikan pampasan sehingga RM90,000 bagi kematian akibat kemalangan, sehingga RM15,000 bagi kematian biasa atau hilang upaya kekal menyeluruh, serta bantuan pengebumian maksimum RM3,000.
Ketua Pegawai Eksekutif FWD Insurance, Mak See Sen, menekankan bahawa pelan ini diwujudkan untuk membuka akses kepada insurans tanpa mengira latar belakang atau kedudukan kewangan. Katanya, “Qaseh Setia bukan sekadar perlindungan, tetapi sebuah sokongan moral agar masyarakat dapat menjalani kehidupan dengan lebih yakin dan terjamin.”
Dalam nada yang sama, Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil, menegaskan bahawa pelan ini seiring dengan misi BSN yang mahu memastikan tiada rakyat Malaysia tercicir daripada mendapat perlindungan kewangan asas. Beliau percaya inisiatif ini dapat membantu komuniti B40 menghadapi cabaran hidup dengan lebih bersedia.
Menariknya, pelanggan boleh memiliki Qaseh Setia tanpa perlu menjalani sebarang pemeriksaan kesihatan, menjadikannya lebih mudah dicapai dan sesuai untuk semua golongan.
Sebagai sebahagian daripada kempen FWD Fiesta Paling Onz 2025, FWD Insurance mengadakan siri jelajah khas di MyTown Shopping Centre dari 21 hingga 24 Ogos 2025. Program ini memberi peluang kepada pengunjung untuk mengenali produk perlindungan seperti Qaseh Setia dan Qaseh Bakti Plus, selain menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma serta aktiviti menarik untuk keluarga.
Pengunjung juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah, termasuk sebuah Proton X50 sebagai hadiah utama. Melalui penganjuran ini, FWD Insurance dan BSN bukan sahaja memperkenalkan produk baharu, tetapi turut menyampaikan mesej bahawa insurans boleh diakses, mudah difahami dan relevan kepada semua rakyat Malaysia. – Tehtariktimes