Isan Nikah Tampil Kisah Cinta Muslim dan Buddha dengan Sentuhan Komedi

Selepas kejayaan filem seram Islamik Khong Khaek pada tahun lalu, syarikat produksi Thailand, Monwichit Entertainment kini kembali dengan sebuah lagi karya berunsur Islamik namun dengan pendekatan yang lebih ringan dan menghiburkan. Filem terbaharu berjudul Isan Nikah membawa penonton menyelami kisah cinta antara dua insan berlainan budaya dan agama, namun digarap dalam bentuk komedi yang segar dan menyentuh hati.

Diarahkan oleh Kriangkrai Monwichit, filem ini mengetengahkan tema perkahwinan campur topik yang jarang dikupas secara komedi dalam sinema Asia Tenggara. Menurut Kriangkrai, Isan Nikah menawarkan naratif unik yang memperlihatkan konflik budaya dan agama dalam hubungan cinta, namun disampaikan dengan cara yang ringan, penuh humor dan sarat nilai kemanusiaan.

“Saya mahu memperkenalkan kepada penonton tentang keindahan budaya di kampung halaman saya di selatan Thailand. Dari sejarah, tempat pelancongan, sehinggalah kepada makanan dan bahasa, semua ini menjadi latar penting dalam filem ini,” ujar beliau yang turut menekankan nilai keaslian budaya Islam tempatan dalam garapan filem ini.

Isan Nikah mengisahkan tentang pasangan kekasih Sophia, seorang gadis Muslim dari Patani dan Bak Kai, jejaka Buddha dari Isan yang sanggup memeluk Islam demi memperisterikan kekasih hatinya. Namun hasrat murni mereka tidak dipersetujui abang kepada Sophia, iaitu Bang Lee, yang masih dibelenggu trauma akibat ditinggalkan ibu mereka suatu ketika dahulu. Sikap keras Bang Lee yang mahu menggagalkan perkahwinan itu membawa kepada pelbagai insiden yang mencuit hati.

Menampilkan pelakon popular Thailand seperti Nattawut Sanyabut, Chatchai Chinnasri, Kamonporn Sangwatcharasoontorn dan Adull Borsu, filem ini turut memperkenalkan influencer terkenal, Amadkuciasree Doloh @ Chalee sebagai Bang Lee watak yang menjadi pencetus kepada elemen lucu dan dramatik dalam jalan cerita.

Untuk tayangan di Malaysia, filem ini diedarkan oleh Empire Film Solution Sdn. Bhd. dan bakal menemui penonton bermula 17 Julai 2025 di pawagam seluruh negara. Pengarah Urusannya, Mohamad Zubir Badar Shair berkata pihaknya tertarik untuk membawakan filem ini kerana kelainan yang ditawarkan berbanding filem-filem Thailand yang biasa ditayangkan.

“Kita sudah biasa dengan filem seram dari Thailand, tetapi Isan Nikah menawarkan sesuatu yang baharu gabungan komedi, Islamik dan budaya yang jarang dipersembahkan. Ia bukan sahaja menghiburkan, malah membuka mata tentang kehidupan masyarakat Muslim di selatan Thailand,” jelasnya.

Mohamad Zubir turut berharap filem ini dapat membuka jalan kepada lebih banyak karya berunsur Islamik dari Thailand untuk memasuki pasaran Malaysia. Baginya, Isan Nikah bukan sekadar filem komedi, tetapi naskhah yang mampu merapatkan pemahaman budaya antara dua negara serumpun.

Dengan kisah yang menghiburkan, watak-watak yang mencabar emosi dan latar budaya yang kaya warna, Isan Nikah dilihat mampu menjadi antara tontonan wajib musim ini. Sama ada anda mencari filem penuh gelak tawa atau cerita yang menyentuh tentang nilai cinta dan penerimaan, filem ini pasti menyajikan pengalaman sinematik yang istimewa. – Tehtariktimes