Haiza Kembali Gegarkan Industri dengan Dag Dig Dug 3.0

Menyambut tiga dekad dalam dunia seni, penyanyi dan penyampai radio Kool 101, Haiza kembali dengan nafas baharu melalui pelancaran semula lagu ikoniknya Dag Dig Dug 3.0, sebagai simbolik perjalanan seni selama 30 tahun.

Bermula dengan album Dag Dig Dug… Mana Tahan pada 1995 ketika berusia 15 tahun, Haiza terus menempatkan diri dalam industri hiburan tempatan, mencuba pelbagai cabang seni termasuk lakonan, pengacaraan dan dunia radio.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana masih mampu bertahan dan terus menghiburkan peminat selama tiga dekad. Banyak suka duka yang dilalui dan saya masih ingin berbakti selagi mampu,” ujarnya dalam majlis pelancaran Haiza Dag Dig Dug 30 Tahun di Geo Resort & Hotel, Genting Highlands.

Menariknya, Dag Dig Dug 3.0 bukan sekadar rakaman semula, malah diberi sentuhan segar dengan rentak koplo moden namun mengekalkan elemen dangdut. Lagu ciptaan Dedi Abdul Kadir Nughra ini dirakamkan semula di Bandung, Indonesia pada Disember lalu, dengan susunan muzik oleh Diki Suwarjiki dan proses mixing/mastering oleh Ari Yujeng dua figura terkenal dalam industri muzik Indonesia.

“Versi baru ini lahir hasil permintaan ramai, termasuk peminat dan rakan industri yang mahukan sesuatu yang lebih matang dan segar. Saya percaya Dag Dig Dug 3.0 mampu kekal relevan untuk generasi akan datang,” kata Haiza yang turut menjalani penggambaran video muzik (MV) di Bandung.

Lebih istimewa, Kool 101 akan menayangkan dokumentari khas bertajuk 3 Dekad Dag Dig Dug Haiza di saluran YouTube mereka bermula 21 Jun, menyingkap perjalanan seni Haiza sepanjang 30 tahun.

Majlis sambutan turut disokong oleh pelbagai penaja antaranya Geo Resort & Hotel, Peterana Chenta, serta rakan strategik seperti Alpha Sound & Light, FKZ Picture, NR Cosmetic, Adabi, Pop Meals, Super Coffee, By Qiss Bawal Exclusive Kuantan, Jaja Ishak Channel dan NMR Sports. Acara ini dibawakan secara eksklusif oleh My Own Entertainment dan Indigital Music.

Lagu Dag Dig Dug 3.0 kini boleh distrim di semua platform digital, manakala MV rasmi telah dilancarkan di saluran YouTube Indigital Music mulai 20 Jun. – Tehtariktimes