Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab FELDA Trolak mencipta sejarah tersendiri apabila kumpulan orkestra mereka, MARESMAF Wind Orkestra (MAWO), berjaya meraih Anugerah Emas “Golden Diploma Award” dalam kategori middle class di 26th Festival Antarabangsa Wind Orchestras Prague 2025 yang berlangsung pada 20 dan 21 Jun lalu di Republik Czech.
MAWO bukan sahaja membawa nama MRSM dan FELDA ke peringkat dunia, malah mengharumkan nama Malaysia apabila muncul sebagai kumpulan dengan markah tertinggi dalam kategorinya, menewaskan tujuh pasukan lain dari enam negara Eropah. Kemenangan diumumkan pada jam 8 malam waktu tempatan (2 pagi waktu Malaysia), 21 Jun 2025, di Hotel Olsanka, Prague.

Prestasi cemerlang MAWO diadili oleh panel juri antarabangsa yang menilai dari segi kualiti persembahan, kecekapan teknikal dan penguasaan komposisi muzik bertaraf global. Festival berprestij ini menyaksikan penyertaan 13 kumpulan orkestra dari 11 buah negara, dengan Malaysia sebagai satu-satunya wakil dari Asia.
Pertandingan ini dibahagikan kepada tiga kategori lower class, middle class dan higher class berdasarkan tahap kesukaran karya muzik serta kemahiran peserta. MAWO telah membuktikan bahawa pelajar luar bandar juga mampu bersaing di pentas antarabangsa dengan dedikasi dan bimbingan yang betul.

Kejayaan ini membuktikan keberkesanan pendekatan pendidikan Ulul Albab yang diterapkan di MRSM serta komitmen FELDA dalam mencungkil dan mengembangkan bakat anak muda luar bandar. MAWO dijangka pulang ke tanah air pada 23 Jun 2025, jam 2 petang, dan pastinya akan disambut dengan penuh bangga oleh warga MRSM dan FELDA.
Lebih daripada sekadar kemenangan, pencapaian ini menjadi simbol bahawa tiada batasan geografi mahupun latar belakang dalam mengejar impian satu inspirasi buat seluruh generasi muda Malaysia. – Tehtariktimes