Biro Konvensyen dan Pameran Pulau Pinang (PCEB) mengadakan kunjungan hormat dan perbincangan strategik bersama Cambodia Airways pada 17 Jun 2025 di Phnom Penh. Pertemuan ini diadakan menjelang pelancaran penerbangan terus sulung Phnom Penh Penang yang akan bermula 26 Jun 2025, beroperasi dua kali seminggu pada setiap Khamis dan Ahad.
Delegasi PCEB yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, En. Ashwin Gunasekeran, membincangkan inisiatif pemasaran bersama dan kerjasama jangka panjang bagi menyokong laluan baharu ini. Penerbangan ini dijangka merangsang pelancongan, acara perniagaan (MICE), serta hubungan dua hala dalam bidang perdagangan dan budaya antara Kemboja dan Malaysia.
Laluan ini turut membuka peluang pertukaran warisan antara dua destinasi UNESCO George Town dan Siem Reap serta menjadi pilihan transit strategik bagi pelawat serantau. PCEB akan terus bekerjasama dengan Cambodia Airways serta rakan industri bagi memastikan kelestarian laluan ini, sejajar usaha memperkukuh keterhubungan dan pelaburan serantau oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang. – Tehtariktimes