Kerja kita belum selesai! Dengan kutipan luar biasa sebanyak RM55.1 juta, Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) secara rasmi dinobatkan sebagai filem animasi paling laris dalam sejarah pawagam Malaysia. Bukan sahaja berjaya mengatasi semua filem animasi tempatan dan antarabangsa, malah turut menewaskan filem-filem blockbuster Hollywood dan Asia yang ditayangkan sepanjang dua bulan lalu.
Kejayaan ini membuktikan kekuatan naskhah tempatan yang menyuntik semangat kebanggaan dan identiti Malaysia. Menurut pengarahnya, Usamah Zaid Yasin, kejayaan ini adalah hasil dedikasi seluruh pasukan WAU Animation dan kerjasama erat bersama Primeworks Studios. Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada para peminat yang terus memberi sokongan sejak hari pertama.
Puan Nini Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios pula menyeru rakyat Malaysia untuk terus memenuhi pawagam bagi membantu mencapai sasaran kutipan RM60 juta. “Inilah masanya untuk kita buktikan bahawa karya tempatan boleh pergi jauh. Sokongan anda akan menjadi nadi kepada kelangsungan francais Ejen Ali dan perkembangan industri animasi negara,” katanya.
Daripada kaca televisyen ke layar perak, Ejen Ali kini diiktiraf sebagai francais animasi nasional yang matang, memukau dan menyentuh pelbagai lapisan penonton. Masih ditayangkan di seluruh pawagam, rakyat Malaysia diseru untuk terus menyokong kerana misi belum selesai! #ejenalithemovie2 #eatm2 #ejenali #letsplay #AniMY #sapotlokal #SaluteAnimatorTempatan – Tehtariktimes