Raffcomm Technologies Sdn. Bhd. (RAFFTECH), syarikat pertama yang dilantik secara rasmi oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebagai penyedia perkhidmatan, telah melancarkan Aplikasi Mudah Alih SSM e-Info Versi 3.0 bersama Program Ganjaran Digital baharu pada Rabu, 21 Mei 2025 di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. Pelancaran ini merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh lagi penyampaian perkhidmatan digital kepada masyarakat dan komuniti perniagaan di Malaysia, seiring perkembangan teknologi dan keperluan pengguna masa kini.
Pengerusi Eksekutif Raffcomm Technologies Sdn. Bhd., YBrs. Datuk Md. Afendi Hamdan menyatakan bahawa pelancaran ini mencerminkan inisiatif strategik untuk memenuhi permintaan terhadap maklumat korporat yang sahih, mudah diakses dan relevan. Sejak lebih 19 tahun, SSM e-Info telah menjadi platform utama orang awam dan entiti perniagaan untuk mencari, mengakses dan membeli maklumat mengenai syarikat serta perniagaan yang diperbadankan di Malaysia. Beliau turut menekankan bahawa pengguna masa kini bukan hanya menuntut ketepatan maklumat, malah mengharapkan pengalaman digital yang lancar, pantas dan berbaloi. Oleh itu, aplikasi SSM e-Info telah dibina semula secara menyeluruh dan kini hadir dalam versi 3.0 yang lebih moden, responsif serta direka khas untuk kemudahan pengguna.

Aplikasi versi baharu ini menampilkan reka bentuk yang lebih intuitif dan mesra pengguna, termasuk sistem navigasi interaktif yang membolehkan carian maklumat dilakukan dengan lebih pantas dan efisien. Pengguna boleh mengakses pelbagai perkhidmatan rasmi secara real-time seperti sijil penubuhan syarikat, dokumen pemfailan berkanun dan penyenaraian syarikat yang lengkap semuanya di hujung jari. Aplikasi ini dibangunkan untuk memenuhi keperluan ahli perniagaan, pelabur serta pengamal undang-undang yang memerlukan capaian pantas kepada data korporat sah. Ia boleh dimuat turun di Apple App Store dan Google Play Store, menjadikannya lebih mudah diakses oleh pelbagai lapisan pengguna profesional.
Menariknya, pelancaran aplikasi ini turut memperkenalkan Program Ganjaran Digital SSM e-Info yang bertemakan “Beli, Kumpul, Tebus”. Program ini menawarkan pelbagai peringkat ganjaran kepada pengguna yang membuat transaksi melalui aplikasi, dengan sistem pengumpulan mata yang sah selama enam bulan dari tarikh perolehan dan boleh ditebus dalam tempoh tersebut. Inisiatif ini bukan sahaja memberi nilai tambah kepada pengalaman pengguna, malah turut mendorong interaksi lebih aktif dalam penggunaan aplikasi.

Sebagai peneraju dalam pembangunan digital di Malaysia, RAFFTECH terus mengekalkan momentum inovasinya dengan beberapa pencapaian signifikan. Antara pencapaian utama termasuk menjadi portal rasmi pertama yang menyediakan capaian maklumat SSM secara real-time sejak tahun 2006, menawarkan penyepaduan API kepada agensi kerajaan untuk akses data yang disahkan, serta menyediakan fungsi e-dompet yang diluluskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Tambahan pula, SSM e-Info turut menjadi satu-satunya portal yang menawarkan dokumen Digitally Certified True Copy (DCTC) melalui Certification Authority dalaman yang dilesenkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), yang secara langsung memperkukuh integriti serta ketulenan dokumen yang diperoleh.
Secara keseluruhannya, pelancaran SSM e-Info Versi 3.0 dan Program Ganjaran Digital ini merupakan transformasi digital menyeluruh yang memberi penekanan kepada kecekapan, kebolehpercayaan serta kepuasan pengguna. Usaha ini dijangka akan memberikan impak besar kepada pengguna korporat dan profesional dalam mendapatkan maklumat perniagaan secara sah, cepat dan tepat di Malaysia. Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web rasmi SSM e-Info di https://www.ssm-einfo.my.