SIRIM Berhad terus memacu dunia inovasi dengan memeterai kerjasama strategik bersama Ensu Lifesciences Sdn Bhd (ELSB) melalui Perjanjian Pelesenan Teknologi (TLA). Perjanjian ini merupakan langkah penting dalam pemindahan teknologi dan pengkomersialan Teknologi Penjagaan Kulit Kawalan Jerawat & Parut, sekaligus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai negara yang dipacu oleh inovasi.
Majlis penandatanganan yang berlangsung hari ini menegaskan komitmen SIRIM untuk mengukuhkan keupayaan industri dalam pelbagai domain teknologi. Melalui perjanjian ini, SIRIM akan memindahkan kepakaran saintifik canggih dalam penyelesaian rawatan jerawat, sekali gus mengukuhkan peranan mereka sebagai pemain utama dalam sektor kosmetik dan penjagaan diri di Malaysia.
Teknologi penjagaan kulit ini berfungsi dengan berkesan untuk melawan jerawat dan mengurangkan pembentukan parut melalui sifat antioksidan yang kuat. Formulanya yang selamat dan tidak toksik, bebas daripada bahan kimia berbahaya, menawarkan penyelesaian yang tepat untuk remaja, dewasa muda, serta individu yang mengalami masalah jerawat berterusan atau disebabkan oleh faktor hormon. Selain itu, penyelesaian ini turut disasarkan kepada klinik dermatologi dan penjagaan kulit.

Ir. Ts. Dr. Muhammad Izzal Ismail, Ketua Pegawai Teknologi SIRIM Industrial Research, menyatakan bahawa sebagai agensi yang diberi mandat oleh kerajaan, SIRIM sentiasa komited untuk memajukan penyelidikan industri, meningkatkan proses teknikal, dan menggalakkan penggunaan produk serta teknologi yang dibangunkan di Malaysia
“Kerjasama ini adalah bukti penting peranan SIRIM dalam pengkomersialan teknologi. Kami berbangga dapat bekerjasama dengan Ensu Lifesciences Sdn Bhd dalam memajukan perniagaan mereka. Perjanjian ini bukan sahaja menyokong inovator tempatan tetapi juga menghubungkan industri dengan penyelesaian teknologi termaju,” katanya.
Perkongsian antara SIRIM Berhad dan Ensu Lifesciences Sdn Bhd menunjukkan bagaimana kerjasama dapat memajukan inovasi dan pertumbuhan ekonomi. Ia juga mencerminkan peranan SIRIM dalam membangunkan dan mengekalkan ekosistem teknologi di Malaysia, memastikan negara tetap berdaya saing di peringkat global.

Dr. Suhana @ Husin, Pengerusi Eksekutif Ensu Lifesciences Sdn Bhd, menekankan bahawa perkongsian dengan SIRIM Berhad adalah bukti komitmen bersama terhadap inovasi dan kelestarian. “Teknologi yang kami lesenkan, yang mengandungi bahan semulajadi seperti limau purut, kayu manis, dan enzim bromelain, adalah manifestasi dedikasi kami untuk menyediakan penyelesaian penjagaan kulit yang berkualiti tinggi dan terbukti secara saintifik, memenuhi keperluan sebenar pengguna.”
Dengan perjanjian ini, SIRIM Berhad dan Ensu Lifesciences Sdn Bhd membuka lembaran baru dalam dunia inovasi dan penyelesaian penjagaan kulit yang memberi manfaat kepada masyarakat.