Zizan Razak dan Sonaone meraih 1 Billion Tontonan di Tiktok menerusi lagu “Chentaku”

Selepas tujuh tahun ditayangkan, lagu “Chentaku” nyanyian Zizan Razak bersama SonaOne yang dikeluarkan oleh label terkenal Rocketfuel Entertainment berjaya mencapai 1 bilion tontonan di TikTok. Lagu ini, yang turut mempunyai sentuhan Joe Flizzow, telah menjadi viral dan menjadi trending di platform media sosial.

Menerusi perkongsian di laman Instagram Hiburan Rocketfuel, Zizan melahirkan rasa syukur yang tidak terhingga kerana lagu ini berjaya menawan hati peminatnya tanpa mengira latar belakang dan kelas usia walaupun sudah beberapa tahun ditayangkan.

“Walaupun bertahun-tahun telah berlalu, lagu ‘Chentaku’ masih relevan dan diterima tanpa mengira umur dan kelas usia.”

Zizan turut berterima kasih kepada semua yang telah menghasilkan kandungan menggunakan lagu “Chentaku” sehingga mencapai 1 bilion tontonan.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang mencipta kandungan menggunakan lagu ‘Chentaku’. “Berkat kandungan yang dicipta, lagu itu berjaya mencecah 1 bilion tontonan, jumlah yang sangat besar,” ujar Zizan penuh semangat.

Selain itu, menerusi laman Instagramnya, Rocketfuel Entertainment turut berkongsi klip video TikTok influencer dan selebriti yang turut menggunakan lagu “Chentaku” dalam video mereka. Antara yang menggunakan lagu ini ialah Mimi Lana, Syafiq Kyle, Merqeen, Leona, Imranbard, Sherry Alhadad, Nabila Razali, malah Alan Walker dan ramai lagi. Pada masa sama, video lirik lagu ini juga telah mencecah 10 juta tontonan di saluran YouTube Rocketfuel Network selepas 7 tahun dilancarkan.

“Chentaku” dikeluarkan pada 2017 dan mengisahkan seorang lelaki yang jatuh cinta pandang pertama dan cuba mendekati gadis itu. Namun cinta itu hanya dari jauh dan rasa segan menyelubungi diri masing-masing ketika pertama kali bertemu.

Lagu itu dicipta oleh SonaOne dengan Joe Flizzow berkhidmat sebagai penerbit eksekutif. Lirik lagu ini ditulis oleh Zizan Razak bersama Joe Flizzow.

Anda boleh meneruskan penstriman lagu “Chentaku” merentas platform digital seperti Apple Music, Spotify, Deezer, KKBox, YouTube dan YouTube Music, serta terus menghasilkan kandungan video di TikTok dan Instagram Reels.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *