Zahiril Azim dan Watak Pencuri yang Mencuri Hatinya Menuju Jalan Tuhan

Kadangkala, manusia hanya mula mencari makna hidup saat terhimpit oleh kesukaran. Itulah falsafah yang cuba digarap pengarah dan pelakon berbakat Zahiril Adzim menerusi telefilem terbarunya berjudul Pencuri Rumah Imam, yang akan menghiasi slot Cerekarama di TV3 pada Sabtu ini, 26 Julai, jam 10 malam.

Sebagai karya kedua arahannya, telefilem ini juga menjadi penutup kepada siri istimewa Dari Layar Ke Lensa – sebuah inisiatif TV3 bersempena ulang tahun ke-41 yang mengangkat empat pelakon popular negara ke kerusi pengarah: Siti Saleha, Fattah Amin, Janna Nick dan Zahiril sendiri. Projek ini memperlihatkan keunikan sudut pandang artis terhadap realiti sosial melalui cerita yang lahir daripada pengalaman dan jiwa mereka sendiri.

Pencuri Rumah Imam mengisahkan tentang Adli (lakonan Fikry Ibrahim), seorang pencuri yang menyamar sebagai hartawan demi melarikan diri dari pihak berkuasa. Ketika bersembunyi di sebuah kampung, dia berjaya meraih kepercayaan Tok Imam Saleh (Razak Ahmad), yang ketika itu berdepan tekanan sebagai pemimpin surau. Dalam kepura-puraannya untuk mendalami agama, Adli sebenarnya sedang mengatur langkah untuk terus menyembunyikan identitinya.

Namun, penyamarannya tidak sepenuhnya meyakinkan semua orang. Khadijah (Shiqin Kamal), anak kepada Tok Imam, mula mencurigai niat sebenar Adli. Ketegangan tercetus, sekali gus membina konflik antara harapan perubahan dan ketakutan akan pengkhianatan.

Meskipun digarap dalam nada komedi santai, telefilem ini membawa makna mendalam. Zahiril secara jujur mengakui bahawa karyanya tidak bertujuan untuk bersyarah, namun terbuka sekiranya penonton menafsirkan adegan-adegan tertentu secara simbolik. Babak seperti Adli bersembunyi dalam van jenazah, misalnya, membuka ruang tafsiran tentang kesedaran terhadap kematian dan titik mula keinsafan.

“Saya tak sengaja letak simbolik. Tapi kalau orang nampak mesej tentang ingat Tuhan saat hampir mati, saya terima dengan hati terbuka. Itu bonus buat saya, dan mudah-mudahan jadi saham akhirat juga,” ujar Zahiril.

Selain menyentuh isu keinsafan dan identiti, telefilem ini turut menyindir budaya materialistik yang semakin menular. Bagi Zahiril, wang boleh menjadi alat yang merosakkan bukan sekadar dalam skala kecil, malah hingga ke peringkat global. “Kerana duit, manusia boleh bergaduh, bunuh, dan hilang arah. Duit tu perlu, tapi jangan sampai hidup kita dikawal olehnya,” tambahnya.

Dibintangi oleh barisan pelakon berpengalaman seperti Fikry Ibrahim, Shiqin Kamal dan Razak Ahmad, Pencuri Rumah Imam menjanjikan kisah yang dekat dengan jiwa masyarakat penuh sindiran sosial, mesej kemanusiaan, serta pencarian jujur terhadap peluang kedua dalam hidup.

Jangan lupa saksikan Pencuri Rumah Imam di slot Cerekarama TV3 pada 26 Julai ini, jam 10 malam. Untuk maklumat lanjut dan kemas kini drama-drama terkini, ikuti laman sosial rasmi TV3 di Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia serta @dramasangat di Instagram. – Tehtariktimes