Peminat muzik rock tanah air bakal disajikan dengan sebuah malam penuh nostalgia apabila XPDC Kita Peng Yu tampil menerusi konsert eksklusif Headbang Live & Loud At Odeon KL yang dijadual berlangsung pada 22 Ogos ini.
Nama XPDC bukan sekadar sebuah kumpulan rock, malah merupakan satu legasi yang terus hidup dalam jiwa peminat muzik keras di Malaysia. Walaupun kehilangan figura ikonik mereka, Allahyarham Mael, semangat perjuangan XPDC Kita Peng Yu terus kekal membara dan menjadi antara nama paling mendapat sambutan dalam pelbagai festival serta acara rock di seluruh negara.
Kejayaan XPDC Kita Peng Yu bukan sekadar bergantung kepada nostalgia. Kumpulan yang dianggotai Arry (vokal), Jeff (gitar), Zuar (bass) dan Amy (dram) terus membuktikan populariti mereka apabila mencatat lebih 60 persembahan setiap tahun di pelbagai festival, konsert dan acara korporat di Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak serta Brunei.
Kini mereka bersedia mencipta satu lagi detik bersejarah menerusi konsert XPDC Kita Peng Yu – Headbang Live & Loud At Odeon KL yang dianjurkan oleh Rockstation & Event Entertainment. Konsert yang berlangsung di Odeon Kuala Lumpur itu dijangka menjadi antara acara rock paling dinanti tahun ini dengan persembahan selama lebih dua jam yang menampilkan lagu-lagu malar segar XPDC, selain memperkenalkan single terbaharu mereka berjudul Satu Arah.
Menurut Pengarah Urusan Rockstation & Event Entertainment, Mozylir Moktaruddin, penganjuran konsert itu adalah hasil permintaan berterusan daripada peminat yang mahu melihat XPDC Kita Peng Yu tampil dalam sebuah konsert berskala khas.
Beliau berkata sambutan yang diterima kumpulan itu di pelbagai lokasi membuktikan sudah tiba masanya sebuah konsert eksklusif diadakan khusus buat peminat setia mereka. Malah, beliau yakin peminat dari Sabah, Sarawak dan Brunei turut akan hadir memandangkan sokongan terhadap muzik rock di wilayah berkenaan masih sangat kuat.
Lebih menarik, konsert ini turut menampilkan tiga figura berpengaruh dalam dunia rock tanah air sebagai tetamu khas iaitu Yan Lefthanded, Jatt Ali dari Black Dog Bone serta Syed Ali, adik kepada Allahyarham Mael.
Kehadiran mereka bakal menghidupkan tiga segmen istimewa yang dikenali sebagai Metal, Tribute dan Metal 60’an, sekali gus membawa penonton mengimbau pelbagai era kegemilangan muzik rock tempatan.
Mozylir turut memaklumkan pihak penganjur sedang menyediakan pengalaman audio dan visual yang lebih mantap bagi memastikan setiap peminat menikmati persembahan yang berbaloi dengan harga tiket.
Sementara itu, pemain bass XPDC Kita Peng Yu, Zuar berkata persembahan bertiket memerlukan persiapan yang lebih rapi berbanding penampilan di festival terbuka.
Menurutnya, setiap aspek termasuk susunan lagu, sistem bunyi, pencahayaan dan keseluruhan produksi diberikan perhatian bagi memastikan peminat pulang dengan pengalaman yang benar-benar memuaskan.
Dalam perkembangan sama, Pengurus XPDC Kita Peng Yu, Mohd. Yazid Selamat optimis konsert tersebut mampu menarik kehadiran ramai peminat berdasarkan rekod cemerlang kumpulan itu setiap kali membuat persembahan.
Beliau berkata peminat bukan sahaja bakal menikmati deretan lagu hit XPDC, malah berpeluang menyaksikan sesi latihan dan uji bunyi serta bertemu semua ahli XPDC Kita Peng Yu pada petang hari konsert di Odeon KL.
Dengan gabungan lagu-lagu legenda, kemunculan tetamu istimewa, tiga segmen eksklusif serta produksi yang dipertingkatkan, XPDC Kita Peng Yu – Headbang Live & Loud At Odeon KL dijangka menjadi antara konsert rock paling dinantikan tahun ini.
Tiket ditawarkan mengikut beberapa kategori iaitu Standing Normal (RM98), Rockzone (RM138), Seating Normal (RM258) dan V.I.P (RM298).
Pembelian tiket fizikal boleh dibuat dengan menghubungi Odeon KL di talian 012-331 8431, Che Mad (XPDC Kita Peng Yu Official Merchandise) di 013-689 7380 atau Faizal (Pasukan Kita Peng Yu) di 013-203 8870. Tiket secara dalam talian pula boleh didapati menerusi laman rasmi officialxpdckitapengyu.com.










