Menjelang pertengahan tahun 2025, wanita disaran untuk menilai semula tahap kesihatan diri. Tekanan akibat peranan berganda sebagai penjaga, pekerja dan ahli keluarga boleh memberi kesan serius terhadap kesihatan fizikal dan mental. Wanita berisiko tinggi mengalami gangguan hormon, masalah tidur, sistem imun lemah, serta penyakit kronik seperti kardiovaskular, autoimun, dan kemurungan. Justeru, penting untuk memahami risiko ini dan mengambil langkah pencegahan yang sesuai.
Kesihatan jantung perlu diberi keutamaan.
Penyakit kardiovaskular (CVD) ialah antara penyebab utama kematian wanita di Asia, dengan kadar kematian tertinggi secara global. Namun, ia sering tidak dikesan awal akibat kurang kesedaran. Pemeriksaan berkala bagi tekanan darah, kolesterol, obesiti dan diabetes sangat penting. Senaman seperti yoga serta meditasi membantu menurunkan tekanan dan meningkatkan kesihatan jantung, manakala diet seimbang yang mengandungi buah-buahan, sayur, protein tanpa lemak, serta makanan kaya omega-3 seperti ikan dan kekacang, menyokong fungsi jantung.
Jaga Keseimbangan Hormon
Perubahan hormon sepanjang hidup wanita boleh menjejaskan kesihatan emosi dan fizikal, termasuk gangguan haid dan kesuburan. Zat besi memainkan peranan penting dalam keseimbangan hormon kerana ia menyokong fungsi hemoglobin dalam membawa oksigen. Kehilangan zat besi semasa haid boleh memberi kesan negatif jika tidak diatasi dengan pemakanan seimbang. Sayur tempatan seperti kangkung dan peria ialah sumber zat besi yang baik. Gaya hidup sihat, pemakanan, aktiviti fizikal dan pemeriksaan kesihatan berkala membantu menstabilkan hormon.
Elak Kehilangan Jisim Otot dan Ketumpatan Tulang
Sarkopenia, atau kehilangan otot akibat penuaan, sering berlaku dalam kalangan wanita dan meningkatkan risiko jatuh dan patah tulang. Osteoporosis pula menyebabkan tulang menjadi rapuh, terutama selepas menopaus. Senaman seperti aerobik dan latihan rintangan penting untuk menguatkan tulang dan otot. Pengambilan protein yang mencukupi sekurang-kurangnya 1.0–1.2g/kg berat badan sehari serta kalsium dan vitamin D (daripada makanan atau suplemen), dapat mencegah masalah ini. Sumber seperti sayur hijau, tauhu, produk tenusu, ikan berlemak dan kuning telur amat digalakkan.

Penyertaan dalam aktiviti berkumpulan memupuk rasa kebersamaan dan sokongan, mewujudkan ikatan yang kukuh serta matlamat yang dikongsi bersama, terutamanya dalam kalangan wanita.
Gaya hidup yang aktif
Tidur cukup, pengurusan tekanan, dan senaman secara konsisten memainkan peranan penting dalam kesejahteraan wanita. Kajian menunjukkan aktiviti fizikal berkumpulan seperti kelas kecergasan atau berjalan secara berkumpulan mampu meningkatkan kesihatan mental dan membina sokongan sosial. Ini membantu mengurangkan rasa kesunyian serta memupuk motivasi untuk terus kekal sihat.
Kesedaran terhadap kesihatan wanita semakin meningkat, namun usaha berterusan diperlukan. Pendidikan, penjagaan diri dan akses kesihatan yang lebih baik mampu memberdayakan wanita untuk menjaga diri dan meningkatkan kualiti hidup mereka secara menyeluruh. – Tehtariktimes