Wani Kayrie Tampilkan Sisi Baru Melalui Single ‘Aiman Tino’

Selepas lebih setahun berhiatus, penyanyi muda berbakat, Wani Kayrie, kini kembali dengan sebuah lagu terbaru berjudul Aiman Tino. Diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment, lagu ini mendapat sentuhan daripada penggubah lagu terkenal, Ezra Kong. Sejak dilancarkan secara eksklusif di TikTok pada 27 September 2024, sedutan 1 minit lagu ini telah mendapat perhatian hangat daripada peminat Wani, dengan pelbagai reaksi positif diterima.

Menurut Wani Kayrie, lagu Aiman Tino mengisahkan tentang perasaan suka atau “crush” terhadap seorang lelaki dengan imej comel yang mengingatkan orang ramai kepada Aiman Tino. Lagu ini mempunyai tempo yang rancak dan rentak yang catchy, menjadikannya mudah diingati serta menarik minat pendengar.

“Keistimewaan lagu ini adalah pada korusnya, yang mudah melekat di fikiran pendengar. Selain itu, saya turut berbincang bersama Ezra Kong untuk menambah elemen kemelayuan pada bahagian bridge lagu, agar identiti saya lebih terserlah berbanding lagu-lagu saya sebelum ini,” kata Wani ketika ditanya mengenai keistimewaan lagu ini.

Dengan konsep lagu yang ceria dan penuh semangat, Wani berharap Aiman Tino akan memberi kesan positif kepada para pendengar. Lagu ini direka untuk mereka yang sedang memendam perasaan, memberi ruang untuk pendengar merasai dan mengaitkan lagu ini dengan pengalaman peribadi mereka.

“Selain gembira kerana dapat menyanyikan lagu yang sesuai dengan minat saya, saya juga sangat teruja dapat bekerjasama dengan Ezra Kong, seorang penggubah lagu yang begitu berbakat dan telah memenangi pelbagai anugerah, termasuk di Anugerah Juara Lagu,” tambah Wani.

Sher Leen Wee, Ketua Rocketfuel Entertainment, turut mengulas bahawa Aiman Tino berpotensi besar di pasaran. Beliau menganggap lagu ini sebagai karya yang tepat untuk selera pendengar masa kini, dengan melodi yang catchy dan elemen tempatan yang tetap dipertahankan. Wani Kayrie, yang dikenali dengan keupayaan menyanyikan pelbagai genre, dilihat sebagai pilihan yang tepat untuk mengangkat lagu ini ke tahap yang lebih tinggi.

Ezra Kong, penggubah dan penulis lirik Aiman Tino, menjelaskan bahawa lagu ini menceritakan tentang seseorang yang sedang memendam perasaan terhadap seseorang yang sentiasa hadir dalam fikirannya. Dengan membayangkan Aiman Tino sebagai seorang lelaki yang kemas dan tajam, Ezra mencipta lagu yang ceria dan catchy, dengan sentuhan budaya pop yang ringan namun penuh makna. Gabungan unsur humor, flirtasi, dan emosi dalam lagu ini menjadikannya unik dan mudah diterima oleh pendengar.

Lagu Aiman Tino kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital sejak 1 November 2024, dan lebih istimewa, lagu ini juga tersedia dalam format Dolby Atmos di Apple Music. Selain itu, video muzik rasmi untuk lagu ini akan dilancarkan pada 25 November 2024 di saluran Wani Kayrie TV.

Dengan Aiman Tino, Wani Kayrie kembali mewarnai industri muzik dengan karya yang fresh dan penuh dengan elemen positif. Nantikan kejayaan besar lagu ini di kalangan peminat dan pendengar dari semua peringkat usia!