Wajah Sempurna, Identiti Dusta: Misi Nekad Adam Lee!

Bagaimana jika satu identiti tidak memadai untuk menjadi wira di mata seorang anak? Slot Akasia TV3 menampilkan Bayangan Lelaki Sempurna, sebuah naskhah yang menyelami pengorbanan seorang bapa tunggal dalam mengharungi dwi-kehidupan demi kelangsungan hidup keluarganya.

Diterajui pasangan serasi Adam Lee dan Sweet Qismina, drama arahan Ejump Mohamad ini mengisahkan Ammar (Adam Lee), seorang bapa tunggal dan penjual ikan yang gigih membesarkan anaknya, Aqish. Meskipun hidup serba kekurangan, Ammar mendapat sokongan daripada jiran mereka, Zulin, dan anaknya, Zara Milda (Sweet Qismina). Namun, segalanya berubah apabila Aqish memerlukan kos rawatan asma yang tinggi, memaksa Ammar mencari jalan keluar yang drastik.

Demi menanggung kos tersebut, Ammar mencipta persona palsu sebagai “Luth Zafran”, seorang pempengaruh (influencer) di media sosial. Identiti baharu ini bukan sahaja membawanya ke dunia kemewahan, malah menarik perhatian Dahlia Rizwani (Riena Diana). Namun, semakin tinggi dia terbang, semakin sukar untuk Ammar menyembunyikan rahsia di sebalik topeng Luth Zafran.

Mengulas mengenai wataknya, Adam Lee menjelaskan bahawa Ammar merupakan simbol kasih sayang seorang ayah yang tidak berbelah bahagi. “Bagi Ammar, menjadi lelaki sempurna buat anaknya adalah keutamaan, walaupun dia terpaksa hidup dalam kepura-puraan,” ujarnya.

Drama 28 episod terbitan Zamriez Golden Pictures Sdn. Bhd. ini turut dibintangi oleh Riena Diana, Maya Fathia, Wanns Ahmad, dan Amin Iman.

Saksikan Bayangan Lelaki Sempurna mulai 9 April, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di slot Akasia, TV3. Anda juga boleh strim episod baharu 24 jam lebih awal melalui aplikasi Tonton atau layari www.tonton.com.my. Ikuti perkembangan terkini di media sosial @TV3Malaysia dan @dramasangat.