Untukmu, Jay Jay – Lambang Jiwa Murni

Jay Jay, nama yang terpahat dalam sejarah muzik tanah air, telah pergi meninggalkan kita pada 4 Ogos 2024. Pemergiannya pada usia 67 tahun bukan sahaja dirasai oleh keluarga dan rakan terdekat, malah oleh seluruh peminat seni tanah air. Beliau bukan sekadar seorang pemuzik yang berbakat, tetapi juga seorang sahabat yang sangat berdedikasi, rendah hati dan disenangi ramai. Sebagai menghargai jasa dan sumbangan besar beliau dalam dunia seni, anak bongsunya, Nur Camelia atau Cammy, telah menyuarakan hasrat agar diadakan satu malam penghargaan buat arwah dan daripada hasrat itu, lahirlah “Malam Rindu Bayangan”.

Acara istimewa ini akan berlangsung pada hari Ahad, 11 Mei 2025, jam 8 malam bertempat di Grand Ballroom, Grand Barakah Hotel, Ampang. Ia bakal menjadi sebuah malam penuh emosi, kenangan dan penghargaan, di mana para sahabat seni yang pernah berkongsi pentas dan perjuangan bersama arwah Jay Jay akan tampil memberikan persembahan istimewa. Antara nama-nama besar yang akan membuat persembahan termasuklah Dato’ Ramli Sarip, Dato’ Khatijah Ibrahim, Dato’ Hattan, Dato’ Jeffrydin, Jatt (Black Dog Bone), Tam (Spider), serta barisan asal kumpulan Carefree kumpulan yang membawa Jay Jay ke kemuncak populariti suatu ketika dahulu. Persembahan turut dimeriahkan oleh penyanyi jemputan seperti Hairee Kool dan Tengku Hadirah, dengan iringan pemuzik hebat tanah air seperti Nan Saturnine, Rafi Gong, Ujang Exist, Firdaus dan ramai lagi.

Lebih daripada sekadar persembahan, malam ini juga akan menampilkan acara jualan amal hasil seni oleh pelukis kontemporari Fathullah Luqman (Spiral Kinetik Circus/Infectious Maggots), serta penampilan khas Tapa, pereka grafik yang banyak terlibat dalam pembikinan album-album Jay Jay sepanjang kariernya. Semua hasil kutipan malam itu akan disalurkan kepada rakan-rakan artis yang memerlukan sokongan, dengan tiga penerima awal yang telah dikenal pasti iaitu Shuib (kumpulan Freedom), Ramlah (balu kepada Allahyarham Yazit Search), dan Ali (XPDC).

Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan acara ini dan memberikan sokongan padu. Tempahan meja dibuka dengan harga RM1,500, RM3,000, RM5,000 dan RM10,000 bagi 10 orang satu meja. Tiket individu juga disediakan pada harga RM150, namun amat terhad kepada hanya 100 tempat sahaja. Ini merupakan satu peluang istimewa untuk anda menyaksikan barisan artis lagenda beraksi dalam satu malam penuh kenangan sambil beramal dan menjamu selera dalam suasana penuh kasih.

Untuk tempahan tiket, meja atau sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi Dato’ Freddie di talian 012-2071400. “Jangan lepaskan peluang ini. Marilah kita bersama-sama meraikan warisan seni dan mengenang Jay Jay – seorang insan seni yang telah banyak mewarnai hidup kita dengan muzik dan kebaikannya,” ujar Dato’ Freddie mengakhiri sidang media acara tersebut.