TV AlHijrah terus mengorak langkah dalam menyebarluaskan misi dakwah di era digital dengan memperkenalkan program IQRA di platform TikTok.
Inisiatif ini merupakan satu usaha transformasi dakwah yang segar, bertujuan memanfaatkan teknologi untuk mendidik masyarakat Malaysia mendekati dan memahami al-Quran dengan cara yang lebih mudah dan interaktif.
Melalui kolaborasi dengan Darul Fikir, program ini menghidupkan aspirasi Kerajaan MADANI untuk membentuk masyarakat yang berilmu, berpaksikan prinsip rohani dan intelektual. Ia berusaha menjadikan al-Quran sebagai panduan utama dalam kehidupan seharian, sekali gus mengukuhkan Malaysia sebagai sebuah negara yang unggul dalam aspek ilmu dan akhlak.
Pelancaran IQRA turut didasari sabda Rasulullah SAW mengenai kelebihan membaca al-Quran:
“Seorang yang mahir dalam membaca al-Quran akan bersama para malaikat yang mulia dan sentiasa taat kepada Allah, dan bagi yang membaca al-Quran namun tersangkut-sangkut dan berasa susah buatnya, maka untuknya itu dua ganjaran.” (Riwayat Muslim).
Hadis ini menjadi inspirasi untuk melahirkan generasi yang celik al-Quran, sekaligus menyemarakkan rasa cinta terhadap kitab suci umat Islam ini.
Program IQRA disiarkan setiap hari pada jam 9 malam di akaun TikTok rasmi TV AlHijrah. Ia memfokuskan pembelajaran asas bacaan al-Quran secara berperingkat, termasuk kaedah tarannum, tajwid, dan pemahaman makna ayat-ayat suci al-Quran.
Menariknya, IQRA hadir dalam format kapsul berdurasi dua minit sebanyak 79 siri, yang dirancang untuk memberikan pengalaman pembelajaran yang padat tetapi mudah difahami. Rancangan ini sesuai untuk semua lapisan umur, baik kanak-kanak, remaja, mahupun dewasa.
Program ini turut menampilkan bimbingan oleh tenaga pengajar berpengalaman seperti Ustaz Ammar Mukhlis, Tilmiz Fahmi, dan Tilmizah Maghfirah. Pendekatan mereka yang santai dan mesra dijangka dapat menarik perhatian pelayar TikTok untuk terus mengikuti kandungan dakwah yang disediakan.
IQRA bermula dengan memperkenalkan huruf hijaiyah dan makhraj huruf, sebelum melangkah ke teknik bacaan serta tajwid. Pembelajaran dirancang berdasarkan modul Iqra 1 hingga Iqra 4, menjadikannya sesuai untuk individu yang baru berjinak-jinak dalam mempelajari al-Quran mahupun mereka yang ingin memperbaiki bacaan sedia ada.
Dengan akses yang mudah dan pendekatan yang inovatif, IQRA berpotensi menjadi platform pendidikan al-Quran yang efektif bagi pengguna media sosial. TikTok yang popular dalam kalangan anak muda dijadikan medium utama untuk menarik minat golongan ini, membantu mereka mendekati al-Quran secara lebih kerap dan berkesan.
Melalui IQRA, TV AlHijrah bukan sahaja memperluaskan capaian dakwah, tetapi juga menyemarakkan semangat masyarakat untuk mempelajari al-Quran secara konsisten. Inisiatif ini diharapkan dapat membentuk generasi Muslim yang celik al-Quran, bertaqwa, dan berakhlak mulia, seiring dengan prinsip Islam sebagai agama rahmatan lil alamin.
Ayuh bersama-sama memanfaatkan peluang ini dengan mengikuti akaun TikTok rasmi TV AlHijrah dan menyertai sesi pembelajaran IQRA. Program ini menjanjikan pengalaman pembelajaran al-Quran yang santai, inspiratif, dan menyeluruh.
Jom jadikan al-Quran sebagai panduan utama kehidupan kita dan bersama-sama membina masyarakat berilmu, berakhlak, serta beriman. Jangan lepaskan peluang untuk memperbaiki bacaan al-Quran anda melalui program IQRA. Ilmu itu pelita hidup, dan al-Quran adalah cahaya hati.