
Kuala Lumpur, 14 Julai 2026 — Impian untuk bergelar pelakon terus mendapat perhatian apabila Uji Bakat Pencarian Pelakon Tonton Vertical mencatat sambutan menggalakkan dengan hampir 300 peserta mengambil bahagian, iaitu peningkatan dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya. Sambutan ini bukan sahaja mencerminkan minat yang semakin berkembang terhadap bidang lakonan, malah menunjukkan kesungguhan bakat baharu untuk meneroka peluang dalam industri kreatif tempatan.
Dianjurkan di Heritage Club, Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur pada 12 Julai 2026, sesi uji bakat ini bertujuan mencungkil bakat baharu untuk membintangi produksi Tonton Vertical serta drama TV3 pada masa akan datang. Selain mencari calon untuk watak utama, sesi pemilihan ini turut memberi peluang kepada peserta berpotensi untuk membawa watak sampingan dan pelbagai karakter lain, sekali gus membuka ruang yang lebih luas kepada pelapis industri untuk mengembangkan kerjaya dalam bidang lakonan.
Uji bakat tersebut turut menerima penyertaan daripada individu berusia antara 18 hingga 45 tahun yang hadir dari pelbagai lokasi di dalam dan luar Lembah Klang. Malah, terdapat peserta yang sanggup melakukan perjalanan dari Johor dan Pulau Pinang semata-mata untuk mencuba nasib. Turut mencuri perhatian ialah penyertaan dua individu orang kurang upaya (OKU) yang tampil berani menguji bakat, memperlihatkan semangat serta kesungguhan untuk mengejar impian dalam dunia lakonan.
Dalam sesi pemilihan, setiap peserta perlu menjalani ujian lakonan secara berpasangan berdasarkan skrip yang disediakan oleh pihak produksi. Persembahan mereka dinilai oleh panel profesional yang terdiri daripada Shuhaimi Lua, Pengarah dan Penerbit Tanah Beris Film Production; Haji Fadzil Teh, Penerbit Zeel Production; Jalena Rejab, Penerbit Country & Universal; Azlin Rahim, Penerbit Wiranusa Corporation; serta Marlia Zul Amran, Pengurus Besar, Strategi Kandungan & Audiens, TV3 & TV9, Rangkaian TV & Kandungan Media Prima.
Antara aspek utama yang diberi perhatian oleh panel penilai ialah versatiliti lakonan dan personaliti peserta. Kriteria tersebut penting bagi mengenal pasti individu yang mampu membawa pelbagai jenis watak serta menyesuaikan diri dengan keperluan sesebuah produksi. Hasil daripada proses penilaian yang dijalankan, kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan peserta telah berjaya disenarai pendek untuk proses pemilihan seterusnya.
Menurut Marlia Zul Amran, sambutan yang diterima bukan sahaja menggembirakan dari segi jumlah penyertaan, malah turut memperlihatkan kesungguhan peserta yang hadir dengan persediaan, keyakinan dan kesediaan untuk mencabar kemampuan diri. Sambutan positif yang diterima tahun ini turut memberi keyakinan bahawa masih terdapat banyak bakat baharu yang berpotensi untuk dibentuk dan diketengahkan menerusi platform seperti ini.
Melihat kepada sambutan yang memberangsangkan, lebih banyak peluang uji bakat dijangka dapat dibuka kepada orang ramai pada masa akan datang. Inisiatif ini juga menjadi sebahagian daripada usaha memperkenalkan Tonton Vertical, sebuah platform yang menawarkan siri mikrodrama dalam format video vertikal dengan penceritaan yang lebih ringkas, pantas dan mudah diikuti oleh penonton masa kini.
Selepas memperkenalkan siri Tonton Vertical pertama, BRU: Masin & Manis, penonton boleh menantikan lebih banyak kandungan tempatan serta pelbagai mikrodrama Korea dengan judul baharu yang dikemas kini setiap Isnin. Usaha mencungkil bakat baharu menerusi sesi uji bakat seperti ini dijangka terus membuka peluang kepada generasi pelapis untuk mengembangkan potensi mereka, sekali gus menyumbang kepada perkembangan industri kreatif dan kandungan tempatan.
Untuk maklumat yang lebih lanjut tentang rancangan kegemaran anda, ikuti kami di Facebook, Twitter, TikTok, dan Instagram di @tontonmy.



