Filem survival thriller terbitan Key Billions Sdn. Bhd., Tiket Sehala, diraikan menerusi majlis gala yang berlangsung di TGV Cinemas, Sunway Pyramid pada 29 Julai 2026 sebelum memulakan tayangan di pawagam seluruh negara pada 6 Ogos 2026.
Majlis tersebut menghimpunkan barisan pelakon, tenaga produksi, rakan kerjasama, tetamu jemputan dan pengamal media bagi menyaksikan tayangan perdana filem arahan dan terbitan Rahila Ali itu.
Tiket Sehala mengangkat isu penipuan pekerjaan dan pemerdagangan manusia yang diinspirasikan daripada realiti dalam masyarakat. Filem itu mengetengahkan sebuah kisah survival yang sarat dengan emosi serta membawa mesej mengenai harapan, pengorbanan dan nilai sebuah kebebasan.

Majlis gala berkenaan turut diserikan dengan kehadiran barisan pelakon tempatan dan antarabangsa yang terlibat dalam filem tersebut.
Tiket Sehala menghimpunkan pelakon dari Malaysia, Korea Selatan, Thailand dan Indonesia. Sebahagian penggambaran filem itu turut dijalankan di Malaysia dan Korea Selatan.
Pengarah dan penerbitnya, Rahila Ali berkata, penganjuran majlis gala tersebut menjadi detik yang cukup bermakna selepas hampir setahun melalui proses pembikinan filem berkenaan.
“Selepas melalui perjalanan yang panjang untuk menyiapkan Tiket Sehala, akhirnya kami dapat berkongsi filem ini bersama penonton. Hari ini sangat bermakna buat kami kerana ia merupakan hasil usaha dan komitmen seluruh pasukan yang terlibat sejak awal pembikinan.
“Filem ini diinspirasikan daripada isu yang benar-benar berlaku dan kami cuba mengangkatnya dalam bentuk penceritaan yang mendebarkan. Di sebalik debaran yang dipaparkan, ia juga membawa kisah tentang harapan, pengorbanan dan nilai sebuah kebebasan.
“Kami berharap filem ini dapat membuka mata penonton terhadap realiti yang mungkin tidak ramai sedari. Jika penonton keluar dari pawagam dengan rasa lebih peka dan berhati-hati terhadap isu ini, itu sudah cukup bermakna buat kami,” katanya.
Rahila mengakui pembikinan Tiket Sehala bukan sesuatu yang mudah memandangkan sebahagian besar penggambarannya dijalankan di Korea Selatan.
Antara cabaran yang dihadapi ialah urusan permit, logistik, keadaan cuaca dan penyelarasan antara pasukan produksi Malaysia dengan Korea Selatan yang mempunyai budaya kerja berbeza.
“Sudah tentu ada perkara yang tidak berjalan seperti dirancang dan ada masanya kami terpaksa membuat keputusan dalam tempoh yang singkat. Namun, bagi saya setiap cabaran adalah sebahagian daripada proses menghasilkan sesebuah filem.
“Apa yang paling saya syukuri ialah komitmen seluruh pasukan produksi. Tanpa usaha dan kerjasama mereka, filem ini tidak mungkin dapat disiapkan sehingga berjaya dipersembahkan kepada penonton,” katanya.
Sementara itu, Penerbit Eksekutif Tiket Sehala, Eddie Yap berkata, isu penipuan pekerjaan dan pemerdagangan manusia masih berlaku di banyak negara, termasuk melibatkan rakyat Malaysia.
Beliau berharap filem itu dapat menjadi salah satu medium untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap risiko sindiket penipuan pekerjaan.
“Kita sering melihat laporan mengenai rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di luar negara. Menerusi Tiket Sehala, kami berharap masyarakat akan lebih berwaspada dan membuat semakan sewajarnya sebelum menerima sebarang tawaran pekerjaan.
“Kami juga berharap filem ini bukan sahaja memberikan pengalaman menonton yang mendebarkan, malah meninggalkan kesedaran bahawa setiap keputusan yang dibuat boleh membawa kesan besar terhadap kehidupan seseorang,” katanya.
Tiket Sehala membawa penonton menyusuri kisah gelap sekumpulan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan ketika mencari rezeki di Korea Selatan.
Alif, Putri dan Taqy menjadi mangsa sindiket yang mengambil kesempatan terhadap keterdesakan hidup mereka. Setibanya di Korea Selatan, mereka mendapati tiada kilang, gaji lumayan atau jalan keluar seperti yang dijanjikan.
Sebaliknya, mereka dipaksa bekerja di sebuah ladang bawang terpencil di bawah kawalan dua beradik, Jae Soo dan Ha Joon. Situasi tersebut mengubah kehidupan mereka dan memaksa mereka membuat pilihan yang tidak pernah dibayangkan.
Filem itu dibintangi oleh Noki K-Clique sebagai Alif, Jaa Suzuran sebagai Taqy, Sharifah Sakinah sebagai Kak Sal, Ainee Mustafa sebagai Putri, Hyunjun Suk sebagai Park Ha Joon dan Ha Ju Young sebagai Park Jae Soo.
Barisan pelakon pembantu terdiri daripada Saha Champ sebagai Roshan, Zaki Yamani sebagai Boy, Usadee Aphisit atau Ninja sebagai Dao, Naufal Samudra sebagai Indra, Tak Teuin sebagai Bong, Siyeol sebagai Park, Shin Hyeon-Kyu sebagai Lee dan DC Gan sebagai lelaki misteri.
Filem itu turut menampilkan Hasnul Rahmat sebagai ayah Putri, Sheila Mambo sebagai ibu Alif, Ardell Aryana sebagai Aina, Wafiy A’an sebagai wartawan, Fancy Goh sebagai pendandan rambut dan Murshid Mahmud sebagai cef.
Tiket Sehala diterbitkan oleh Key Billions Sdn. Bhd. dengan Rahila Ali selaku penerbit dan pengarah. Eddie Yap, Yumi Wong dan Kenchi Yap bertindak sebagai penerbit eksekutif.
Skrip filem tersebut ditulis oleh Zarina Omar, Amirul Haswendy dan Rahila Ali, manakala Oscar Tong bertindak sebagai pengarah fotografi. Razif Kamal merupakan pengurus produksi dan Rabbani Sujak bertanggungjawab sebagai pereka produksi.
Dengan gabungan pelakon tempatan dan antarabangsa, lokasi penggambaran di Malaysia serta Korea Selatan dan jalan cerita yang diinspirasikan daripada isu semasa, Tiket Sehala mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 6 Ogos 2026.











