Tiket Sehala Angkat Isu Global Dalam Pelancaran Penuh Bermakna

Sempena kehadiran bulan Ramadan, syarikat produksi Key Billions Sdn. Bhd. telah menganjurkan majlis berbuka puasa pada 2 Mac 2026. Bukan sekadar majlis berbuka puasa, acara tersebut turut dimeriahkan dengan pelancaran filem terbaharu terbitan syarikat berkenaan berjudul Tiket Sehala.

Filem arahan Rahila Ali ini mengangkat kisah mangsa sindiket penipuan kerja di luar negara. Menurut beliau, Tiket Sehala diinspirasikan daripada kisah benar yang merupakan satu masalah global, termasuk melibatkan rakyat Malaysia yang terjebak dalam sindiket tersebut. Katanya, karya itu dihasilkan dengan rasa tanggungjawab untuk memaparkan kesan dan akibat yang terpaksa ditanggung mangsa agar dapat memberi kesedaran kepada penonton.

Antara barisan pelakon yang membintangi filem ini ialah Noki K-Clique, Jaa Suzuran, Ainee Mustafa, Zaki Yamani, Sharifah Sakinah, Hasnul Rahmat, Sheila Mambo, Ardell Aryana, Fancy Goh dan Shaharudin Jamaludin. Menariknya, filem ini turut menampilkan pelakon dari empat negara iaitu Malaysia, Korea Selatan, Thailand dan Indonesia, termasuk Hyunjun Sun, Ninja daripada kumpulan SuperThai serta Naufal Samudra.

Selain sesi memperkenalkan barisan pelakon, acara tersebut turut diserikan dengan persembahan istimewa robot di bawah kelolaan Shadow Combat League. Sementara itu, Pengasas Key Billions Sdn. Bhd., Eddie Yap berkata pihaknya tertarik untuk menerbitkan Tiket Sehala kerana kelainan naskhah yang dibawakan. Menurutnya, kisah mengenai sindiket penipuan kerja di luar negara jarang diangkat ke layar perak sedangkan isu tersebut amat besar dan membimbangkan. Beliau berharap filem ini dapat memberi kesedaran kepada orang ramai agar lebih berhati-hati apabila menerima tawaran pekerjaan di luar negara.

Tambahnya lagi, filem ini turut menjalani penggambaran di Korea Selatan dan menggabungkan kru produksi dari Malaysia serta negara tersebut. Kerjasama itu secara tidak langsung memberi peluang kepada kru tempatan untuk mempelajari perkara baharu daripada rakan produksi luar, sekali gus meningkatkan kualiti filem tempatan pada masa hadapan.

Selain aktif sebagai syarikat penerbitan, Key Billions kini melebarkan sayap dengan penubuhan Key Billions Distribution. Eddie menjelaskan bahawa syarikat pengedaran itu akan menguruskan pengedaran bagi setiap filem terbitan Key Billions, selain filem tempatan lain dan juga filem luar negara yang dibawa masuk ke pasaran tempatan. Jika sebelum ini filem Soloz: Game Of Life yang diterbitkan mereka diserahkan kepada pengedar lain untuk tayangan pawagam, namun bagi Tiket Sehala, semua urusan pengedaran termasuk promosi akan dikendalikan sepenuhnya oleh Key Billions Distribution. Pihaknya juga membuka peluang kepada syarikat produksi lain untuk menggunakan khidmat pengedaran mereka, malah telah memperoleh hak untuk mengedarkan dua lagi filem iaitu Gayong 2 dan Tarung Unforgiven yang bakal ditayangkan di pawagam tidak lama lagi. Penubuhan syarikat pengedaran ini menjadi penanda aras kesungguhan mereka dalam membangunkan industri perfileman tempatan.

Shadow Combat League pula merupakan kategori hiburan sukan baharu yang menggabungkan sukan tempur, permainan, teknologi dan hiburan yang dikuasakan oleh Virtuals serta dibina di atas rangkaian Base. Ia menampilkan pendekatan inovatif dalam sukan tempur dengan menggabungkan elemen tradisional dan teknologi moden bagi menawarkan pengalaman berbeza kepada penonton dan peminat. Untuk maklumat lanjut mengenai Shadow Combat League, orang ramai boleh melayari laman web rasmi mereka.