Kumpulan nasyid legenda yang kini tampil dengan identiti baharu, The Rayhan, secara rasminya mengumumkan penganjuran ‘Konsert The Rayhan Syukur 2026’ yang dijadualkan berlangsung di Hall A, MAEPS, Serdang pada 15 Ogos 2026. Pengumuman eksklusif ini telah dibuat melalui satu sidang media khas yang berlangsung semalam, 22 April 2026, bertempat di Top G Coffee & Cafe, Publika.
Konsert anjuran Bintang Batu Event dan Magnificent G Ventures ini merupakan satu bentuk penghargaan tulus buat para peminat yang telah setia menyokong perjalanan seni mereka sejak penghujung tahun 90-an sehingga kini. Kemunculan semula ini menyaksikan penyatuan semula bekas vokalis utama kumpulan nasyid tersohor Raihan, Nazrey Johani, bersama dua rakan seperjuangannya, Amran Ibrahim dan Afad Ahmad.
Nazrey percaya bahawa penjenamaan semula sebagai The Rayhan mampu memberikan nafas baharu kepada irama nasyid kontemporari agar kekal segar dan relevan buat generasi masa kini tanpa mengabaikan identiti asal yang telah membina legasi mereka selama ini. Konsert Syukur 26 bukan sekadar persembahan muzik biasa, malah ia dijanjikan sebagai sebuah pengalaman spiritual yang penuh nostalgia.
Antara tarikan utama yang bakal disajikan termasuklah susunan muzik segar bagi lagu-lagu klasik kegemaran ramai seperti Iman Mutiara, Demi Masa, dan Syukur. Selain itu, penonton bakal dihidangkan dengan “Odisi Visual” melalui teknologi projection mapping yang menceritakan kembara seni mereka, selain penampilan kejutan daripada artis-artis jemputan ternama tanah air yang terinspirasi oleh gaya alunan zikir dan muzik nasyid mereka.
Bagi memastikan kualiti persembahan berada pada tahap tertinggi, konsert ini akan menggunakan sistem audio premium berdefinisi tinggi bagi menghidupkan harmoni vokal unik trio ini. Menurut kenyataan rasmi kumpulan, konsert ini adalah cara mereka menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT dan berterima kasih kepada peminat. Mereka mahu malam tersebut menjadi detik refleksi dan ketenangan, sekali gus membawa semua pendengar kembali kepada akar muzik yang menyatukan masyarakat.
Bagi peminat yang tidak mahu melepaskan peluang keemasan ini, tiket Konsert The Rayhan: Syukur 26 akan mula dijual pada hari Jumaat, 1 Mei 2026. Pembelian boleh dilakukan secara dalam talian melalui platform rayhan.ubertickets.asia. Dengan gabungan vokal asli dan suntikan semangat baharu, The Rayhan bertekad untuk kembali mengharumkan persada nasyid di seantero dunia.