The Nurts dan SJMC Lancar Buku Cerita Kesihatan Kanak-Kanak

Setiap hari, kanak-kanak mempelajari sesuatu yang baharu, termasuk tentang kesihatan, emosi dan dunia di sekeliling mereka. Namun, bagi kebanyakan ibu bapa, menerangkan topik seperti ini kepada anak kecil bukanlah sesuatu yang mudah.

Menyedari cabaran itu, The Nurts dan Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) bekerjasama melancarkan The Nurts Tales: Growing Strong, Inside and Out, sebuah buku cerita kanak-kanak yang menggabungkan penceritaan menarik dengan kepakaran perubatan.

Kerjasama antara sebuah hospital kuaternari dan platform keluarga berasaskan permainan itu bertujuan membantu keluarga membincangkan topik kesihatan penting bersama anak-anak dengan lebih yakin.

Sesuai untuk kanak-kanak berusia empat hingga lapan tahun, buku tersebut mengandungi lima kisah yang dekat dengan kehidupan seharian.

Melalui watak The Nurts seperti Zoey, Mia, Liam dan Noah serta maskot SJMC, Teddy Paws, kanak-kanak diperkenalkan kepada topik berkaitan emosi, tabiat harian, pemakanan dan komunikasi dengan cara yang menyeronokkan serta mudah difahami.

Pengasas Bersama The Nurts yang juga penulis buku berkenaan, Adrian Tan berkata, ibu bapa sering berdepan situasi apabila anak-anak mengemukakan soalan yang sukar dijawab, khususnya berkaitan kesihatan dan kesejahteraan.

“Sebagai ibu bapa, kita semua pernah berdepan saat apabila anak bertanya soalan yang sukar dijawab, terutamanya berkaitan kesihatan dan kesejahteraan.

“Melalui buku ini, kami berharap cerita-cerita yang disampaikan dapat membantu ibu bapa memulakan perbualan dengan lebih mudah, sambil mewujudkan ruang untuk anak-anak belajar, bertanya dan berkongsi perasaan mereka,” katanya.

Sebagai platform keluarga berasaskan permainan yang telah memenangi pelbagai anugerah, The Nurts membantu kanak-kanak dan keluarga berhubung, belajar serta membesar bersama melalui aktiviti dan pengalaman yang bermakna.

Kolaborasi tersebut turut mencerminkan komitmen SJMC dalam menyokong kesihatan kanak-kanak melalui penjagaan perubatan, pendidikan dan aktiviti bersama komuniti.

SJMC diiktiraf sebagai hospital pediatrik nombor satu di Malaysia dalam senarai Newsweek-Statista’s Best Specialized Hospitals Asia Pacific 2026.

Hospital itu turut menerima pengiktirafan sebagai Hospital Swasta Terbaik di Selangor menerusi Parenthood Parents’ Choice Awards 2026. Pengiktirafan tersebut mengukuhkan komitmen SJMC dalam menyokong kanak-kanak dan keluarga di dalam serta di luar persekitaran hospital.

Pengarah Pembangunan Perniagaan, Strategi dan Transformasi SJMC, Joanne Lee berkata, kerjasama itu mencerminkan komitmen hospital dalam menjaga kesihatan keluarga dari satu generasi kepada generasi seterusnya.

“Saya sendiri dilahirkan di SJMC, jadi saya memahami dan telah menyaksikan komitmen hospital ini dalam menjaga kesihatan keluarga dari satu generasi ke generasi yang lain.

“Kolaborasi bersama The Nurts ini mencerminkan komitmen SJMC dengan cara yang berbeza, iaitu melalui sebuah buku cerita yang menjadikan pembelajaran tentang kesihatan lebih menarik, dekat dengan kehidupan seharian dan mudah difahami oleh kanak-kanak.

“Kami berharap buku ini dapat mencetuskan rasa ingin tahu, menggalakkan pilihan yang sihat serta memperkasa pembaca muda dengan pengetahuan untuk membina tabiat sihat sepanjang hayat,” katanya.

Lebih daripada sekadar buku cerita, buku tersebut turut dilengkapi soalan refleksi, panduan perbincangan dan tip praktikal bagi membantu ibu bapa berbual tentang kesihatan dengan cara yang mudah difahami serta sesuai mengikut usia anak.

Pada masa sama, buku itu menunjukkan bagaimana penceritaan boleh menjadi kaedah yang menyeronokkan dan berkesan untuk menyokong kesejahteraan emosi serta meningkatkan literasi kesihatan kanak-kanak.

Pakar Perunding Pediatrik SJMC, Dr Sanjay Woodhull turut bersetuju bahawa penceritaan merupakan kaedah berkesan untuk membantu kanak-kanak memahami kesihatan diri.

Pendekatan tersebut juga dapat memberikan keyakinan kepada ibu bapa untuk memulakan perbualan mengenai topik yang mungkin sukar dibincangkan.

“Kanak-kanak belajar dengan lebih mudah apabila mereka seronok. Sebab itulah kami percaya cerita boleh menjadi cara yang berkesan untuk memperkenalkan topik kesihatan.

“Pasukan pediatrik kami bekerjasama rapat dengan The Nurts bagi memastikan setiap cerita mengangkat topik yang sering menjadi persoalan dan kebimbangan keluarga berdasarkan pengalaman kami merawat kanak-kanak setiap hari.

“Dengan menterjemahkan isu kesihatan dalam kehidupan kepada cerita yang dekat dengan pengalaman kanak-kanak, kami berharap buku ini dapat menjadi panduan praktikal kepada ibu bapa untuk memupuk amalan hidup sihat sejak usia muda,” katanya.

Majlis pelancaran turut dimeriahkan dengan sesi bual bicara bersama wakil The Nurts dan SJMC.

Antara yang terlibat ialah Adrian Tan; Dr Sanjay Woodhull; Pakar Perunding Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja SJMC, Dr Wan Asyikin binti Wan Azlan; serta Joanne Lee.

Mereka berkongsi pandangan mengenai kesejahteraan fizikal dan emosi kanak-kanak, kepentingan tabiat sihat serta cara ibu bapa boleh memulakan perbualan yang bermakna bersama anak-anak.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif tersebut, SJMC akan menyumbangkan naskhah buku berkenaan kepada beberapa pertubuhan bukan kerajaan kanak-kanak terpilih bagi meluaskan manfaatnya kepada lebih ramai kanak-kanak dan keluarga.

Pelancaran itu turut menandakan bermulanya jelajah buku komuniti selama tiga bulan di beberapa kedai buku terpilih. Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha bersama untuk membantu kanak-kanak Malaysia membesar dengan sihat dari dalam dan luar.

The Nurts Tales: Growing Strong, Inside and Out kini boleh dibeli di rangkaian kedai buku utama serta melalui kedai dalam talian rasmi The Nurts.

Maklumat lanjut mengenai SJMC dan rangkaian perkhidmatannya boleh didapati melalui laman web rasmi Pusat Perubatan Subang Jaya.